Perdana Menteri Najib Razak memberi jaminan peluang untuk mana-mana pihak melakukan penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak boleh dilakukan.

Menurutnya, sistem pilihan raya umum sentiasa ditambah dari semasa ke semasa bagi meningkatkan keyakinan pengundi.

“Aneh sebab sistem yang kita amalkan oleh SPR adalah sistem yang sama mengangkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

“Sistem kita lebih diperkukuhkan menjadi lebih telus berbanding dahulu. Kita ada ejen pusat mengundi, ejen mengira undi dan sistem dakwat. Peluang untuk menipu boleh kata tidak ada langsung.

“Jadi bagaimana mereka kata pilihan raya umum kononnya tidak adil…kenapa selama 22 tahun ini tidak mengadu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Najib mengulas pertemuan permintaan Pakatan Harapan kepada delegasi Kesatuan Eropah meminta mereka menggesa kerajaan mengundang pemerhati luar memantau perjalanan pilihan raya umum nanti.

Delegasi EU dan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan lain bermesyuarat selama 2 jam di ibu negara baru-baru ini. Dr Mahathir adalah calon perdana menteri PH.

Najib berkata membidas Pakatan Harapan kerana cuba menimbulkan kontroversi dan keraguan pada sistem pilihan raya negara.

“Perkara biasa, mereka tersepit, tidak ada peluang dalam negara, mengadu pada kuasa asing dengan harapan keputusan dalam pilihan raya boleh dipertikaikan.

“Mereka nak timbulkan kontroversi, nak semai ketidakpercayaan rakyat kononnya sistem tidak adil, tapi sistem itu yang lantik beliau, sistem ini bawa negara kepada keadaan kemakmuran yang kita kecapi,” kata Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here