Ketika artikel ini ditulis kontinjen Malaysia di Sukan Sea 2017 telah berjaya mengaut 142 pingat emas dan jelas ini terlalu jauh dari sasaran asal 111 pingat emas. Kejayaan ini juga paling bersejarah kerana negara di ambang sambutan kemerdekaan. Tidak ada sesiapa yang menjangkakan Malaysia mampu mencapai jumlah kutipan pingat yang sebegini tinggi, namun semua atlet, jurulatih dan pegawai yang berusaha gigih telah menanam azam yang tinggi di dalam dada masing-masing dan akhirnya kita berjaya membuktikan bahawa Malaysia ialah jaguh sukan di rantau Asia Tenggara.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Sukan SEA pada tahun 2001 juga sebagai tuan rumah dan kali ini kita membuktikan sekali lagi bahawa dengan sokongan padu seluruh rakyat yang memenuhi setiap venue acara yang dipertandingkan kita layak bergelar juara.

Sukan SEA kali ini sebenarnya banyak mengajar kita hal-hal yang positif untuk kita ambil sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus maju ke hadapan dan perkara paling utama ialah bagaimana perpaduan dan nilai kebersamaan amat memberikan kesan kepada pencapaian kita. Lihat sahaja di pentas Sukan SEA, berita-berita mengenai kejayaan atlet sebenarnya berjaya menenggelamkan berita-berita politik yang selalu mendominasi ruang-ruang di media massa. Namun sepanjang Sukan SEA rakyat mampu melupakan segala perbezaan pandangan dan berbeza logo parti demi memberikan sokongan kepada Malaysia tercinta.

Sukan SEA kali ini juga menjadi saksi terpenting bagaimana masyarakat majmuk di Malaysia masih menghargai di antara satu sama lain dan jika politik sempit ditendang keluar, maka perpaduan itu jelas dapat diperkukuh lagi. Setiap daripada kita menyanyikan lagu yang sama, bersorak untuk pasukan yang sama dan meraikan kejayaan yang dikecapi secara bersama-sama. Inilah semangat Malaysia yang kita selalu rindukan, namun Sukan SEA menjadi penghubung kepada segala perbezaan ini.

Kita tidak seharusnya membiarkan segala perhubungan erat dan keharmonian perpaduan yang berjaya dikecapi sepanjang Sukan SEA berlangsung berlalu pergi begitu sahaja. Semangat seperti ini harus diterapkan sepanjang masa dan dijadikan sebagai sebahagian daripada nilai utama Malaysia. Berbeza pandangan bukan semestinya kita harus bertindak di luar dugaan dan melupakan kematangan, tetapi berbeza pandangan itu harus diraikan dengan cara yang cukup harmoni.

Pencapaian cemerlang kontinjen Malaysia pada Sukan SEA kali ini juga sudah pasti sukar untuk tercapai jika kita memilih jalan berpecah-belah berbanding jalan perpaduan yang mampu membawa kemakmuran kepada seluruh negara. Sebagai warga Malaysia yang bertanggungjawab setiap seorang daripada kita wajar memainkan peranan menjadi ejen perpaduan dan sentiasa memandang positif rupa Malaysia yang mahu kita sama-sama bentuk.

Ternyata matlamat perpaduan melalui sukan sudah kita capai dan buktikan di Sukan SEA kali ini dan mesej perpaduan juga harus kita bawa ke mana-mana melalui pelbagai medium yang sering kita tempuhi. Perpaduan bukan hanya selama dua minggu ini, tetapi perpaduan harus kekal selama-lamanya untuk Malaysia terus menjadi negara majmuk yang disegani di seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here