Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata semua pihak bebas mengamalkan agama atau kepercayaan pilihannya, termasuk sebuah komuniti kecil Ahmadiah di Selangor yang baru-baru ini bimbang keselamatan mereka terancam susulan bantahan sebuah kumpulan pendesak.

“Mereka bebas menzahirkan agama atau kepercayaannya dalam menyembah, pematuhan, amalan dan ajaran,” kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail.

“Tambahan, tiada siapa boleh dikenakan paksaan yang akan menjejaskan kebebasannya untuk mempunyai atau mengamalkan agama atau kepercayaan pilihannya.”

Beliau diminta mengulas laporan FMT semalam mengenai kebimbangan beberapa kenyataan berupa ancaman dalam sidang media dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) minggu lepas.

Dalam sidang media 27 September lepas, jurucakap sebuah kumpulan bernama Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH), Masridzi Sat, menggesa pihak berkuasa agama bertindak terhadap Baitusalam, pusat aktiviti pengikut Ahmadiah, fahaman yang difatwakan sesat pihak berkuasa agama Malaysia.

Menurut Masridzi, kegagalan pihak berkuasa menutup premis itu akan memaksa NGO sepertinya mengambil langkah sendiri.

“Kami sedang uruskan, kalau NGO yang uruskan kena faham sendirilah,” katanya.

Selama berdekad, pengikut fahaman Ahmadiah di Baitusalam, sebuah bangunan 3 tingkat di Kampung Nakhoda, Batu Caves, hidup aman damai dengan penduduk setempat, walaupun pernah diganggu pihak berkuasa agama.

Tetapi menurut Jariullah Ahmad, jurucakap Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia yang menguruskan pusat itu, beberapa orang tempatan tidak berpuas hati dengan aktiviti tertutup kumpulan itu, lalu membuat aduan kepada PPIM.

Sementara itu, polis menasihatkan mereka yang tidak berpuas hati pusat penganut Ahmadiah itu supaya tidak melanggar undang-undang dengan mengambil tindakan sendiri.

Ketua Polis Gombak, Ali Ahmad memberitahu FMT< setakat ini belum ada mana-mana pihak membuat laporan polis.

“Kalau rasa ada ancaman, lapor kepada polis. Kalau tak nak buat laporan dahulu, boleh datang berjumpa pihak polis.”

Beliau berkata polis juga belum menerima sebarang laporan daripada penduduk yang tidak senang dengan pusat itu, yang sudah bertapak selama 5 dekad di kawasan itu.

“Kalau melibatkan isu agama, pertama dia kena buat laporan polis. Kalau perlu kita buat siasatan jenayah, kita akan buat. Kalau isu ajaran sesat kita akan rujuk ke jabatan agama supaya mereka boleh ambil tindakan.

“Dalam masa yang sama kita akan memantau, sekarang pun kita memantau. Saya menyaran semua pihak buat laporan polis. Kita akan tengok pelbagai sudut.

“Saya nasihatkan mana-mana pihak supaya jangan ambil tindakan sendiri dalam isu ini,” kata Ali.

Ahmadiah ialah fahaman Islam dari benua kecil India, yang diisytiharkan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Fahaman itu turut dikecam melalui khutbah Jumaat serata Selangor bagi mengingatkan orang Islam yang fahaman itu bukan sebahagian daripada Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here