PH

Pakatan Harapan (PH) akhirnya berjaya menetapkan logo utama mereka dan memutuskan barisan kepimpinan gabungan politik berkenaan selepas beberapa bulan berlaku pelbagai kemelut dan pertikaian mengenai isu ini. Selepas ramai yang tampil mencadangkan nama sebagai Perdana Menteri jika pakatan itu menang pilihan raya umum akan datang dan timbul pula teka-teki bagaimana rupa bentuk organisasinya, kini segala-galanya telah terjawab dalam satu sidang media khas yang diadakan selepas Mesyuarat Majlis Presiden berlangsung selama lebih empat jam semalam.

Dalam senarai yang dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum manakala isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden. Nama-nama lain yang turut tersenarai ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Jawatan Naib Presiden pula disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chien Jen dan Salahuddin Ayub. Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha dan M. Kula Segaran dipilih sebagai Bendahari.

Organisasi ini melihatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai empat wakil, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tiga wakil, Parti Tindakan Demokratik (DAP) tiga wakil dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dua wakil.

Namun begitu, walaupun dilihat seperti sudah bersedia untuk berdepan Barisan Nasional (BN) secara lebih teratur, struktur organisasi PH yang diumumkan ini jelas memiliki kepincangan dan kecelaruan yang tidak dapat dinafikan berbanding struktur BN yang lebih tersusun.

Di puncak kepimpinan terdapat tiga jawatan diwujudkan iaitu Pengerusi, Ketua Umum dan Presiden dan sehingga kini tiada sebarang penjelasan lanjut berhubung fungsi ketiga-tiga jawatan ini. Tindakan ini dilihat sebagai satu percubaan PH untuk menyenangkan hati semua parti dalam gabungan ini. Secara tidak langsung bakal mewujudkan kecelaruan berpanjangan dalam proses membuat keputusan untuk gabungan ini nanti.

Siapa sebenarnya yang mentadbir dan memberi nasihat kepada PH nanti dan apakah perbezaan ketiga-tiga jawatan utama ini? Hal wajar difikirkan kerana untuk sesebuah parti politik bergerak secara baik cukup seorang dilantik sebagai Presiden/Pengerusi dan seorang bertindak sebagai penasihat. Bagaimanakah struktur seperti ini akan membantu PH juga tidak dapat dipastikan.

Jelas dari sudut struktur politik BN telah meninggalkan PH dengan agak jauh apabila konsensus pembentukan organisasi ini merupakan bentuk paling mantap dalam mencerminkan gabungan politik berasaskan landskap politik tanah air. BN hanya memerlukan Pengerusi (Presiden UMNO – YAB Perdana Menteri), Timbalan Pengerusi (Timbalan Presiden UMNO – YAB Timbalan Perdana Menteri) dan Naib Pengerusi seramai 12 orang yang diwakili pemimpin tertinggi parti-parti komponen (selain UMNO) yang mewakili pelbagai latar kaum dan etnik termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Organisasi ini kemudian dilengkapi dengan Pengerusi Wanita dan Pemuda yang masing-masing diketuai oleh Ketua Wanita dan Pemuda UMNO di samping jawatan eksekutif seperti Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Setiausaha Eksekutif. Seterusnya terdapat 26 pemimpin dari 13 parti komponen keseluruhan dalam BN yang dipilih menganggotai Jawatankuasa Pusat.

Struktur yang dipersembahkan oleh BN ini sebenarnya lebih meyakinkan berbanding apa yang dipamerkan oleh PH. Selain kecelaruan di puncak kepimpinan, kekurangan wakil dari Sabah dan Sarawak juga menjelaskan kedudukan sebenar bagaimana PH dilihat tidak memiliki pemimpin yang berupaya dari kedua-dua negeri berkenaan. Hanya Chong Chien Jen dari Sarawak yang berada dalam barisan kepimpinan ini.

Dari rupa bentuk organisasi ini sebenarnya rakyat sudah boleh membuat penilaian bagaimana celarunya keadan jika PH memenangi pilihan raya umum yang akan datang dan keupayaan pentadbiran mereka juga sebenarnya boleh dipertikaikan kesan daripada pembentukan struktur organisasi seperti ini. Jelas dalam keadaan ini PH perlu menilai kembali keadaan dan harus menetapkan struktur yang lebih kukuh jika benar-benar serius mahu memenangi hati rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Adakah kali pertama dalam sejarah kita bakal memiliki tiga Perdana Menteri dan tiga Timbalan Perdana Menteri? Ayuh kita sama-sama nantikan kesudahan drama PH ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here