PARTI Amanah mengambil langkah realistik dengan hanya bertanding di 27 kerusi yang berpeluang untuk dimenangi dalam pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, ketetapan ini menimbulkan kemarahan kalangan ahlinya yang mensasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 35 kerusi.

Strategi baharu Amanah juga menunjukkan parti itu mengambil teladan dari kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 2016 serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada tahun sama.

Inilah strategi utama Amanah dalam perundingan kerusi Pakatan Harapan (PH) sehingga menyebabkan mereka sedia bertanding di 27 kerusi Parlimen sahaja, paling sedikit di kalangan parti PH.

Kerusi yang diperuntukkan itu melibatkan Kedah (3), Pulau Pinang (1), Perak (4), Selangor (5), Melaka (1), Johor (2), Negeri Sembilan (2), Pahang (1), Terengganu (3) dan Kelantan (5).

Mengulas ketetapan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata beliau yakin strategi tersebut akan membolehkan parti itu akan menang kesemua kerusi yang akan ditandingi.

“Insya-Allah, kita akan menang semua (kerusi),” katanya ringkas kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Konvensyen PH semalam.

Pengarah komunikasinya, Khalid Samad juga menyifatkan rundingan dengan PH sebagai satu perkara positif kerana Amanah akan dapat bertanding di kerusi Parlimen yang dituntut selama ini.

“Kita dapat kebanyakan kerusi (Parlimen) yang kita mahu. Dan kerusi yang Amanah dapat adalah kerusi yang berpotensi tinggi boleh menang,” katanya.

Sementara itu, pengarah strateginya Dr Dzulkefly Ahmad pula merakamkan penghargaan kerana pengagihan kerusi itu berjalan dengan lancar walau berdepan risiko penentangan dari kalangan anggota parti.

“Hanya Allah sahaja yang tahu pergolakan detik-detik cemas dan getir di sebalik semua ini dan bagaimana setiap pemimpin tertinggi parti membuat keputusan setelah segala dihitung-teli.

“Andainya keputusan gagal dicapai, aduh, bukan sahaja PH berkebrantakan, hakikatnya saudara semua membelakangi kepentingan rakyat yang mendambakan perubahan dan pembelaan,” tulisnya di Facebook.

Penghargaan turut disuarakan pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad turut menghargai Amanah kerana menjayakan agihan kerusi PH.

“Yang menjayakan agihan parti ini (PH) adalah Amanah,” katanya dalam ucapan penggulungannya di Konvensyen PH semalam.

bertanding
Pengarah Strateginya Amanah Dr Dzulkefly Ahmad pula merakamkan penghargaan kerana pengagihan kerusi itu berjalan dengan lancar walau berdepan risiko penentangan dari kalangan anggota parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Januari, 2018.

Seorang aktivis Amanah Wilayah Persekutuan juga cuba menyejukkan perasaan kalangan pemimpin dan ahli parti peringkat negeri yang tidak dapat bertanding di kerusi parlimen tunggal di kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Mai Suharah Basaruddin berkata, Amanah Wilayah Persekutuan akan berpeluang mengisi banyak jawatan di negeri itu sekiranya berjaya membawa PH menguasai Putrajaya.

“Bagi saya, Amanah Wilayah Persekutuan tak perlu rasa sedih. Ada hikmahnya. Menangkan PH ke Putrajaya dulu. Bila dah menang, banyak jawatan di Wilayah Persekutuan yang Amanah Wilayah Persekutuan perlu isi dan berperanan,” tulis beliau di Facebook.

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abu Bakar Rashid pula berpendapat, ketetapan yang dicapai untuk Amanah menandingi 27 kerusi sekurang-kurangnya akan meredakan kesedihan pimpinan dan ahli Amanah di peringkat bawahan.

“Jumlah kerusi bertanding juga penting. Namun, jumlah kerusi menang itulah yang lebih penting.

“Minta 35 (kerusi), dapat 27 (kerusi), kadar kejayaan 77% tu! Jangan mengada-ngada sangatlah,” kata Abu Bakar Rashid, yang juga rapat dengan presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada sikap sesetengah pemimpin Amanah yang merajuk kerana tidak berpeluang untuk bertanding di kawasan dihajati.

Sikap merajuk itu antara lain diperlihatkan oleh wakil Amanah Johor yang menarik diri dari  menyertai konvensyen apabila mereka hanya diperuntukkan dua daripada 26 kerusi Parlimen negeri itu.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi juga tidak menyertai konvensyen itu kerana tidak senang dengan pembahagian kerusi di negeri tersebut kerana Amanah Perak hanya akan bertanding di empat kerusi dari 24 kerusi parlimen di Perak.

Pakatan Harapan juga tidak memperuntukkan sebarang kerusi parlimen untuk ditandingi Amanah Wilayah Persekutuan dan Perlis.

Hal ini malah menyebabkan pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Dr Mohamad Hatta Ramli meletakkan jawatannya termasuk sebagai Pengarah Pilihan Raya Amanah peringkat nasional.

Dalam PRN Sarawak 2016, Amanah tewas di kesemua 13 kerusi DUN yang ditandingi.

Pemimpin veteran Amanah, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang pada waktu itu berkata kesilapan paling besar parti itu adalah bertanding di terlalu banyak kerusi.

Wan Abdul Rahim turut menjelaskan, Amanah pada awalnya hanya mensasarkan untuk bertanding satu atau dua kerusi sahaja di PRN Sarawak itu.

Namun, parti itu memutuskan untuk bertanding di kesemua DUN yang menyebabkan kesemua calonnya hilang wang deposit di semua kawasan kecuali di Gedong, Semop, Balingian dan Kakus. – The Malaysian Insight

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here