Malaysia perlu melakukan lebih banyak inisiatif untuk mencari bakat muda bola sepak, kata bekas pemain tengah Liverpool dan Machester City, Steve McMahon.

Beliau berkata pada masa ini, tiada peluang yang cukup untuk anak muda Malaysia mempamerkan potensi mereka selain kurangnya infrastruktur bola sepak yang sesuai di peringkat akar umbi.

“Kita memerlukan lebih banyak peluang seperti program ‘Million Dollar Feet’ (MDF) bagi menyediakan platform kepada mereka menonjolkan potensi sebenar dalam sukan bola sepak, khususnya pada usia muda kerana pembangunan belia sangat penting dalam mewujudkan bola sepak negara terbaik,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

McMohan yang juga ketua jurulatih MDF berkata belia di sini sangat bersemangat terhadap bola sepak dan sanggup berlatih bersungguh-sungguh bagi membolehkan mereka bermain pada peringkat antarabangsa, namun kurangnya infrastruktur dan jurulatih menjadi halangan utama.

Sebelum ini, pasukan bola sepak Malaysia dilaporkan berada di kedudukan ke-166 oleh badan pentadbiran bola sepak antarabangsa, FIFA.

metd_million_randeep_1

Terdahulu, McMahon berkata pencarian bakat bola sepak itu akan memilih dua terbaik daripada ribuan pemain bola sepak muda dalam jelajah program itu ke lima negeri yang bermula hari ini di Pulau Pinang.

“Semua belia berusia antara 11 dan 16 tahun dialu-alukan untuk datang ke sesi percubaan yang mana kebolehkan mereka dalam sukan bola sepak akan diuji,” katanya dan menambah lebih 1,000 belia dijangka hadir ke sesi ujian yang akan berakhir esok (Ahad) di sini.

Bekas pemain England itu berkata peserta terbaik di setiap negeri akan ke Kuala Lumpur untuk final bagi mencari dua pemenang yang akan terbang ke United Kingdom dan berpeluang diintai oleh pencari bakat daripada kelab bola sepak terkenal Eropah.

Selain Pulau Pinang, MDF akan diadakan di Sarawak pada 14 hingga 15 Okt, Kelantan (20-21 Okt), Johor (27-28 Okt) dan Kuala Lumpur (3-4 Nov) diikuti peringkat akhir pada 5 Nov.

Dua pemenang terpilih akan menerima biasiswa eksklusif selama dua tahun bernilai RM1 juta dari Brooke House Football Academy, satu daripada akademi terkemuka di Eropah.

Pada musim lepas, Adam Roshan Kris Azman dari Kuala Lumpur dan Mohd Yusry Haziq dari Sarawak dipilih menerima hadiah utama merasai pengalaman berharga di United Kingdom.

— Bernama

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here