sprm

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana hampir RM180 juta yang melibatkan seorang pemimpin kanan parti pembangkang di Sabah, tidak wajar disifatkan bermotif politik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yakin SPRM menjalankan tugasnya dengan telus dan tanpa campur tangan pihak luar atau dipengaruhi mana-mana parti politik.

“Saya yakin SPRM dan juga polis adalah profesional dalam bidang tugas masing-masing…dalam siasatan mereka, ada juga orang Umno ditangkap malah pernah berlaku, masih (berkhidmat) dalam kerajaan pun ditahan.

“Jadi pembangkang kena berlaku adil. Jangan bila orang Umno kena (siasat), mereka kata SPRM adil dan jalankan tugas tetapi bila orang mereka sendiri yang kena, terus tuduh kata ada tindakan politik,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Pesara Pahang 2017 di Kompleks Rakan Muda Bera di sini hari ini, yang turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Ahli Parlimen Bera itu mengulas laporan media apabila SPRM menahan tiga individu termasuk pemimpin pembangkang terbabit berhubung kes penyelewengan dana untuk projek kebajikan rakyat miskin oleh pegawai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bersekongkol dengan 10 syarikat.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak mengetahui syarikat yang terlibat dalam siasatan itu memandangkan kes tersebut merupakan ‘kes lama pada 2009’, sedangkan beliau mula menerajui kementerian pada 31 Julai 2015.

Beliau bagaimanapun sekali lagi menegaskan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan SPRM dan mengesahkan suruhanjaya itu telah mengambil beberapa dokumen berkaitan daripada pejabat kementerian berkenaan.

“Kita juga akan beri kerjasama kalau ada pegawai yang masih berkhidmat dengan kementerian terlibat dalam siasaran. Jika didakwa, kita akan merujuk kepada peraturan sedia ada mengenai tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri menyelar tindakan sebahagian pesara yang berubah sekelip mata menjadi penyokong pembangkang sebaik sahaja tidak bergelar kakitangan kerajaan.

“Ada antara mereka, sewaktu dalam kerajaan merupakan penyokong kuat, tapi bila petang tinggalkan pejabat, malamnya terus bantai kerajaan. Sedangkan setiap tahun kerajaan belanja berbilion ringgit untuk bayaran pencen dan faedah golongan pesara,” katanya.

Ismail Sabri berkata perbuatan itu jika dilakukan atas dasar ‘suka-suka’ adalah tidak wajar kerana menukar kerajaan bukan perkara mudah dan rakyat negara ini perlu belajar daripada pengalaman negara luar yang huru-hara selepas kerajaan sedia ada dijatuhkan.

“Tidak bermaksud kerajaan yang ada ini tidak pernah membuat kesilapan kerana kita bukan maksum. Tapi jangan hanya disebabkan sedikit kesilapan, terus kita hendak tukar kerajaan,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here