Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima peluru hidup serta satu nota berbaur ugutan yang diletakkan di dalam peti surat rumahnya semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya memandang serius ugutan berkenaan dan satu laporan polis telah dibuat bagi menyiasat perkara itu.

“SPRM menggesa pihak polis untuk menyiasat kes tersebut serta mengenalpasti individu yang berbuat demikian supaya tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam berkata SPRM percaya perbuatan itu dilakukan susulan beberapa kes berprofil tinggi yang sedang disiasat suruhanjaya itu kebelakangan ini.

“Ingin ditegaskan, warga SPRM tidak akan sama sekali tunduk kepada ugutan sedemikian dan akan terus melaksanakan tugas yang diamanahkan tanpa rasa gentar,” katanya.

Antara kes berprofil tinggi yang kini di bawah pengawasan suruhanjaya itu termasuk kes jualan tanah Ijok di Selangor, projek terowong dasar laut kerajaan Pulau Pinang dan pembekuan akaun bank milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd di Australia. MKini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here