SPRM

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Melaka menahan dua orang pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdec) selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan pemindahan wang syarikat ke akaun peribadi milik mereka.

Difahamkan, kedua-dua suspek yang ditahan di Melaka mempunyai talian kekeluargaan.

“Suspek berusia 76 dan 43 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan itu sepanjang tempoh tahun 2014 sehingga 2015.

“Siasatan SPRM mendapati, pemindahan wang itu ke akaun syarikat milik mereka berdua dilakukan menerusi beberapa keping cek yang nilainya mencecah kira-kira RM4 juta,” kata sumber.

Selain itu, SPRM telah menyita hampir RM600,000 dalam akaun syarikat tersebut selain merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan perkakasan syarikat tersebut bernilai hampir RM350,000.

Tambah sumber, Misdec merupakan sebuah badan NGO yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan Negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri.

Katanya, kementerian sumber manusia dan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM4.5 juta kepada NGO tersebut namun sehingga kini tidak ada sebarang latihan dilaksanakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti-bukti berkaitan kes,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dijatuhi hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM 10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Kedua-duanya dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Ayer Keroh untuk direman pagi esok bagi membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here