Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan 2 exco tertinggi Pulau Pinang akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion.

“Setakat ini, kita panggil seorang exco hari ini dan seorang lagi exco akan dipanggil esok bagi membantu siasatan.

“Isu ini sangat teknikal untuk diselesaikan dan pasukan siasatan kita (sedang) siasat,” kata Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki selepas menghadiri program gerah dan pelancaran kempen gempur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Beliau tidak menamakan 2 exco terbabit.

Bagaimanapun, media hari ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pulau Pinang, Lim Hock Seng disoal siasat hari ini, manakala Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy akan dipanggil esok.

Azam berkata, setakat ini, pasukan penyiasat sudah mengambil keterangan sekurang-kurangnya 100 saksi bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Tangkapan terakhir membabitkan ketua eksekutif dan seorang perunding kejuruteraan yang dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan 3 jalan utama dan terowong di Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM305 juta.

Lima yang ditahan, kemudiannya dibebaskan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 jalan utama, dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 2023.

Projek itu adalah sebahagian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kerajaan Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here