sprm

Sebarang pemilikan harta perlu dipastikan mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya sebelum siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat dimulakan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya juga tertakluk kepada kuasa badan itu sendiri sebelum mana-mana suspek boleh dipanggil untuk disiasat.

“Jika nak tuduh seseorang itu mempunyai harta yang banyak, belum tentu berpunca daripada rasuah. Itu jawapan saya setakat ini.

“Kalau saudara ada duit yang banyak dan datang seseorang membuat laporan meminta SPRM siasat, kita akan teliti dahulu sama ada kes itu boleh disiasat atau tidak.

“Itu pentingnya agensi penguatkuasa seperti kita, sama ada boleh mula siasatan atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Azam berkata demikian ketika mengulas kesediaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk disiasat SPRM berhubung dakwaan memiliki wang tunai bernilai RM230 juta pada tahun 1996.

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Timbalan Perdana Menteri memiliki wang sebanyak RM230 juta dalam akaunnya ketika mengisytiharkan hartanya pada 1996 tetapi mengakui tidak memiliki bukti menyokong dakwaan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu.

Menurut Dzulkifli, buat masa ini, dakwaan yang dibuat Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid itu disifatkan sebagai cerita yang tidak mempunyai asas kukuh.
Sehubungan itu jelasnya, pihaknya tidak akan membuka sebarang kertas siasatan sehinggalah laporan rasmi mengenai perkara itu diterima pihaknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here