SURUHANJAYA Pilihan Raya menafikan dakwaan majalah antarabangsa, The Economist, bahawa pihaknya memanipulasikan proses pilihan raya atau membenarkan “gerrymandering” menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Pengerusinya Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR tidak memihak kepada mana-mana parti dan menolak dakwaan mereka menyebelahi parti pemerintah dalam satu artikel bertajuk “How Malaysia’s Next Election Will Be Rigged” yang disiarkan pada 8 Mac di majalah berkenaan.

“SPR menafikan dakwaan terdapat manipulasi dalam sistem pilihan raya dan proses persempadanan semula bagi memastikan kejayaan parti tertentu pada PRU14.

“SPR merasakan kenyataan yang dibuat itu bersifat fitnah dan tidak berdasarkan bukti yang kukuh serta bertujuan untuk mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, proses persempadanan semula adalah bagi memastikan perwakilan keseluruhan pengundi dan berkata dakwaan itu tidak berasas kerana pengkritik tidak membandingkan kawasan pilihan raya secara adil.

“Perbandingan sepatutnya dibuat antara kerusi di bawah kategori bandar dengan kerusi bandar yang lain, atau antara kerusi luar bandar dengan kategori luar bandar yang lain,” katanya.

Kritikan terhadap proses persempadanan semula mendakwa SPR mewujudkan kawasan Parlimen besar berdasarkan etnik di kawasan bandar yang kebanyakan pengundinya merupakan pro-pembangkang.

Hashim juga berkata walaupun terdapat cabaran perundangan terhadap SPR berhubung persempadanan semula, mahkamah memihak kepada suruhanjaya itu.

Katanya, suruhanjaya itu menjalankan inkuiri yang perlu untuk mendengar bantahan kepada cadangan persempadanan dan menyertakan kebimbangan yang dibangkitkan ke dalam laporan akhir proses itu.

Kenyataannya tidak menyatakan aduan yang dibuat oleh kumpulan masyarakat sivil yang mendakwa SPR tergesa-gesa pada pendengaran kedua untuk Selangor dan kerana gagal mendengar setiap bantahan yang dibuat.

Pengerusi itu turut menyatakan beberapa bantahan lain terhadap suruhanjaya itu termasuk dakwaan terhadap perubahan sempadan kawasan pilihan raya, memanipulasi daftar pemilih dan pengundian pos.

“Walau apa pun kritikan dan cadangan yang dihadapi SPR, ia tidak akan menjejaskan komitmen kami dalam memastikan PRU14 berjalan dengan telus dan adil dan mematuhi semua undang-undang yang berkaitan pilihan raya,” kata Hashim.

Bagi memastikan tiada penipuan dalam pilihan raya, Hashim juga berkata SPR menjangkakan 200,000 ejen mengundi dan pengiraan undi akan berkhidmat pada pilihan raya kali ini.

SPR dituduh memanipulasikan daftar pemilih dan proses persempadanan semula yang tidak sesuai daripada semua pihak termasuk pembangkang dan Bersih 2.0.

Laporan persempadanan semula itu diserahkan kepada Perdana Menteri Najib Razak minggu lalu dan beliau dijangka akan membentangkan di Dewan Rakyat pada hari terakhir persidangan 5 April depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here