HIMPUNAN Solidariti Putih Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya semalam mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 10,000 orang dari pelbagai bangsa dan negara termasuklah yang bukan Islam bagi membantah dan mengecam keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu negara Israel lebih dua minggu lalu. Di samping kehadiran orang ramai, himpunan semalam juga menghimpunkan kira-kira 250 pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ironinya, himpunan di Putrajaya semalam berkebetulan berlangsung hanya beberapa jam setelah para diplomat di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengundi dan meluluskan resolusi untuk menolak pendirian AS berhubung isu ini. Sekaligus, ianya menjadi satu tamparan hebat kepada AS dan Trump tentunya setelah usahanya mengugut kesemua negara anggota PBB untuk tidak menyokong draf resolusi tersebut gagal.

Curi Perhatian Dunia

Himpunan dan demonstrasi di Putrajaya semalam disifatkan berjaya atas pelbagai sebab. Jika dilihat dan dibaca berita mengenai isu Baitulmaqdis yang dilaporkan media-media antarabangsa semalam, beberapa agensi berita terkenal nampaknya turut tidak ketinggalan untuk melaporkan atau setidak-tidaknya ‘menyelitkan’ himpunan semalam dalam laporan mereka. Justeru, himpunan semalam sememangnya begitu sukses sehingga mendapat perhatian dunia, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai antara yang paling konsisten memperjuangkan nasib penduduk Palestin.

Lebih menarik, semalam juga, mungkin buat pertama kalinya rakyat melihat pemimpin Melayu Islam daripada hampir kesemua parti politik Melayu tanahair hadir bergabung tenaga dan menyumbang sesuatu ke arah matlamat memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin dan tentunya mempertahankan kota suci Baitulmaqdis. Himpunan semalam yang dihadiri YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadikan ia sebagai satu peristiwa besar dalam kalendar 2017.

Tindakan Melalui Teladan UMNO-PAS

Rata-rata hadirin mungkin sedikit hampa apabila Presiden PAS Datuk Seri Hj. Abdul Hadi Awang yang sepatutnya dijadualkan tampil bersama-sama dengan perdana menteri dalam himpunan itu walau bagaimanapun tidak hadir dan tempatnya digantikan oleh anaknya yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia, Khalil Abdul Hadi. Apa pun, kehadiran Khalil yang mewakili PAS menjadi satu lagi manifestasi baharu bahawa UMNO dan PAS sememangnya telah menunjukkan kematangan berpolitik mereka apabila sanggup mengenepikan segala perbezaan demi perjuangan memartabatkan Islam dan nasib umatnya di seluruh dunia.

Sebelum ini UMNO dan PAS juga telah menunjukkan kematangan yang serupa apabila Najib dan Hadi masing-masing berganding bahu dan berpadu tenaga dalam beberapa majlis yang berkaitan dengan perjuangan memartabatkan Islam. Antara yang paling diingati kebelakangan ini adalah ketika kedua-dua mereka hadir dalam himpunan bekas graduan Universiti Al-Azhar pada Disember 2015 selain turut muncul bersama-sama dalam Himpunan Selamatkan Rohingya di Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu. Sekiranya Hadi hadir semalam, ianya tentu sudah menjadi Disember ketiga berturut-turut yang menyaksikan kemunculan bersama dua tokoh pemimpin dunia Melayu Islam itu.

Harapan Baru Untuk Orang Melayu dan Islam

Jika sebelum ini, perjuangan UMNO memartabatkan Islam hanya disertai PAS, himpunan semalam menzahirkan satu suasana yang lebih positif untuk rakyat, dan tentulah ia cukup untuk membuatkan umat Islam di Malaysia setidak-tidaknya senyum melihatkan perkembangan yang berlaku. Walaupun promosi mengenai himpunan tersebut sebelum ini begitu tertumpu kepada kemunculan Najib dan Hadi, sekaligus memperlihatkan satu lagi episod perpaduan UMNO-PAS, kesediaan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden AMANAH Hasanuddin Mohd Yunus untuk hadir menjadikan majlis semalam begitu sempurna dan bermakna.

Di sebalik penolakan beberapa pemimpin pembangkang untuk hadir sebelum ini, kehadiran Saifuddin dan Hasanuddin membuktikan bahawa orang Melayu Islam di negara bertuah ini masih punya harapan untuk bersatu atas nama bangsa dan agama meskipun berbeza ideologi politik. Jika DAP boleh ‘berpadu tenaga’ dengan UMNO dalam isu kemanusiaan dan banjir di Pulau Pinang baru-baru ini, parti-parti Melayu Islam pula perlulah menunjukkan semangat yang lebih baik daripada itu, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan nasib saudara seagama yang kita cintai. Mereka tidak ada alasan untuk berpecah dan berbalah dalam hal sepenting itu.

Ternyata, jalan berbaik yang dipilih UMNO dan PAS sebelum ini bukan retorik politik semata-mata. Ianya membuahkan hasil yang banyak dan jelas sehinggakan kita dapat melihat pelbagai entiti politik dan bukan politik Melayu yang turut hadir dan sama-sama bergabung suara pada himpunan semalam. Jika UMNO dan PAS tidak mendahului perkara ini, maka lambat lagilah untuk kita melihat orang Melayu Islam bersatu. Momentum begini harus dikekalkan supaya satu mesej jelas dapat dihantar kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa – baik yang Islam mahupun yang bukan Islam – bahawa orang Melayu di Malaysia mungkin fahaman politiknya pelbagai, tetapi keutuhan bangsa, agama dan perpaduan mereka jangan sama sekali cuba dicabar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here