Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat Zon Selatan, yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), dari 26 hingga 27 Ogos ini.

Norashikin Datuk Ismail Ketua Sekretariat SL1M berkata, tawaran pekerjaan merangkumi pelbagai sektor, daripada pertanian sehinggalah perniagaan.

“Seluruh rakyat Malaysia dan peringkat pengajian boleh memohon pekerjaan dengan syarikat terbabit.

“Kami tidak meletakkan sebarang syarat untuk mana-mana jurusan pengajian untuk permohonan dengan mana-mana syarikat.

“SL1M membantu individu yang menganggur dapat pekerjaan,” katanya semalam.

Menurutnya, sehingga semalam, 100 syarikat dijangka menyertai program kali ini namun, pihaknya memerlukan 40 syarikat lagi, terutama  yang berpangkalan di Melaka.

Sehubungan itu, pihaknya masih memberi peluang kepada mana-mana syarikat bagi menyertai program temu duga ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia memperoleh pekerjaan.

“Pada 1 Ogos lalu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengeluarkan surat pekeliling, iaitu mana-mana syarikat yang ingin memasuki tender yang ditawarkan kerajaan, perlu menyertai program SL1M.

“Sekiranya ada yang enggan menyertai SL1M, kerajaan akan mempertimbangkan untuk tidak melayan permohonan tender mereka. Kerajaan mahu syarikat ini memberi peluang kepada peserta SL1M bekerja di syarikat mereka,” tegasnya.

Norashikin berkata, pihaknya turut menawarkan 40 tapak perniagaan serta khemah kepada usahawan untuk berniaga sempena program itu.

Usahawan hanya dikenakan caj deposit RM200 dan wang tersebut akan dikembalikan sekiranya mereka menjaga kebersihan kawasan serta tidak mengambil kemudahan disediakan pihak SL1M.

“Kami juga berharap individu yang berjaya pada temu duga SL1M hadir  pada  temu duga kedua yang dianjurkan mana-mana syarikat sekiranya dipanggil semula.

“Kerajaan dan syarikat menyediakan platform untuk anda bagi mendapat pekerjaan dan ambil peluang sekiranya ditawarkan bekerja dalam syarikat itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here