Friday, September 22, 2017
Home News Sport Persiapan Skuad Bawah 22 Tahun Serba Pincang

Persiapan Skuad Bawah 22 Tahun Serba Pincang

236
0
Skuad Bawah 22 Tahun

KUALA LUMPUR – Amat menyedihkan apabi­la beberapa ke­lab enggan memberi kerjasama mele­paskan pemain bagi ber­khidmat untuk negara selepas hanya 12 orang melapor diri dalam sesi latihan skuad bawah 22 tahun Malaysia (B-22), hari ini.

Persiapan skuad bimbi­ngan Datuk Ong Kim Swee yang dalam persiapan menghadapi kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok dan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), bulan depan tidak berjalan seperti dirangka.

Masalah itu mendapat perha­tian bekas jurulatih Harimau Mu­da, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menyuarakan rasa simpati terhadap apa yang berlaku ke­pada rakan seja­watannya.

Kehadiran hanya 12 pemain pasti merencatkan perancangan Kim Swee apabila bertemu skuad bawah 22 tahun Myanmar dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Khamis ini.

Myanmar yang tampil sebagai pelawat membawa 24 pe­main menjalani sesi latihan di Stadium Sime Darby, Bukit Jelutong dan dilihat lebih berse­dia berbanding pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, Azraai menge­ta­hui krisis ini berlaku ekoran ke­lab-kelab Liga Malaysia (Liga M) berdepan jadual padat bulan ini dan keberatan melepaskan pemain-pemain mereka.

“Amat sedih perkara seperti ini berlaku, bagaimana persiapan tuan rumah mampu berada di tahap terbaik jika hanya ada 12 pemain yang melapor diri daripada 26 yang dipanggil?

“Kita pasukan tuan rumah dan menjemput mereka mengadakan perlawanan persahabatan di sini tetapi kita gagal membuat persiapan lebih baik berbanding mereka, bagaimana dengan nama baik negara yang seharusnya dijaga oleh kita.

“Saya faham mengapa beberapa kelab tidak dapat melepaskan pemain mereka disebabkan ke­kangan jadual padat Liga-M bulan ini tetapi harus mencari ja­lan penyelesaian yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bekas jurulatih Kedah itu me­ne­gaskan jika situasi ini tidak dapat diselesaikan secepat mungkin, dia khuatir sasaran untuk mem­buru ibu segala pingat temasya itu hanya angan-angan sahaja.

“Saya bimbang persiapan skuad muda akan terjejas jika masih ramai yang tidak melepaskan pemain-pemain.

“Harus diingat kita adalah tuan rumah Sukan SEA tahun ini dan meletakkan sasaran untuk memburu pingat emas acara bola sepak.

“Kalau beginilah persiapan skuad B-22 ini, pasti agak sukar untuk merealisasi sasaran itu,” jelasnya.

Pada awalnya 15 pemain hadir melaporkan diri tetapi tiga daripadanya iaitu Arif Fadzilah Abu Bakar, Muhammad Syahmi Safari dan Ahmad Khairil Anuar Zamri masing-masing ditimpa ma­salah kecederaan.

Menurut Kim Swee, pemain-pemain yang hadir sesi latihan kali ini adalah daripada senarai tambahan yang mana beliau menyifatkan memerlukan sekurang-kurangnya 18 pemain untuk mengadakan persiapan lebih teliti.

Dalam sesi latihan sebelum ini, hanya enam daripada 26 pemain yang dipanggil oleh Kim Swee, melaporkan diri untuk latihan pusat pertama.

Skuad bawah B-22 akan berangkat ke ke Bangkok minggu depan bagi mengharungi kempen kelayakan Piala AFC B-23, yang akan berlangsung dari 19-23 Julai, sebelum menghadapi Sukan SEA pada 19-30 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here