BERFESYEN tidak hanya terhad kepada golongan wanita yang dilabelkan urban sebaliknya, individu berpenampilan Muslimah dan mengangkat syariat menutup aurat juga boleh tampil dengan imej berbeza.

Ini kerana personaliti seseorang turut dinilai daripada bagaimana cara mereka berpakaian.

Padanan tepat dalam menyarung persalinan turut dilihat melalui pemilihan spektrum selain gaya yang ingin disampaikan. Muslimah cukup sinonim dengan pakaian berpotongan besar dan menutup bentuk tubuh. Oleh demikian, skirt merupakan helaian yang amat sesuai untuk ‘dibawa’.

Meskipun pakaian Muslimah kini dilihat mula berkembang menyusur permintaan yang tinggi daripada golongan itu, koleksi skirt dikatakan masih terhad dan kurang menepati cita rasa penggemar fesyen selain potongan serta fabrik yang kurang menarik.

Menyaksikan peluang pasaran pakaian Muslimah yang kini mendominasi fesyen tempatan, butik dengan pengenalan nama SkirtBySisters diusahakan oleh dua adik-beradik itu semakin mendapat perhatian ramai. Dengan hanya bermula secara online, kini mereka berkembang dan beroperasi di butik yang terletak di Bangi Sentral, Selangor.

Media sosial

Menurut Nurasikin Daud, 32, dia mengusahakan butik itu bersama kakaknya, Noraini Daud, 34, pada April lalu setelah melihat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan. Namun, ia bermula secara online melalui medium media sosial Instagram, @skirtbysisters.

Bermain dengan warna-warna pelangi, mereka menawarkan lebih daripada 20 tona berbeza untuk dipilih mengikut kesesuaian karakter masing-masing. Ini kerana pemilihan itu turut menonjolkan personaliti seseorang selain menyerlahkan keyakinan diri.

“Kami menawarkan pelbagai potongan dan jenis material yang sesuai mengikut keperluan serta permintaan individu agar tampil menarik. Jenis rekaan yang boleh dimiliki ialah potongan A, kembang, pensel, duyung dan pleat.

“Kesemua skirt dihasilkan amat menitikberatkan kualiti material yang tidak jarang agar menepati ciri-ciri pemakaian seorang Muslimah selain selesa dengan cuaca di negara ini. Fabrik yang digunakan termasuklah syifon, syifon glitter, satin dan krep,” katanya ketika ditemui Malaysian Access baru-baru ini.

Walaupun ramai pelanggan menggemari skirt polos palet pelbagai, stok rekaan bercetak juga sering ditambah kerana menjadi pilihan gadis yang gemar bereksperimentasi gaya dengan helaian itu.

“Skirt bercorak kami dilihat berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh butik-butik lain kerana memaksimumkan kain selain meletakkan perincian hidden zip pada bahagian belakang.

“Jahitan yang dibuat adalah istimewa dan kemas malah, corak ini sempurna disarung berbanding skirt lain yang meletakkan zip pada bahagian kedua-dua sisi,” ujarnya.

Selain mengutamakan kualiti produk, SkirtBySisters juga mengutamakan nilai eksklusif rekaan kerana setiap corak helaian skirt yang dihasilkan adalah terhad.

Harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu serendah RM79 hingga RM129 dan boleh diperoleh dalam pelbagai saiz bermula daripada S hingga XXL.

Mereka turut merancang untuk menghasilkan blaus agar mudah dipadankan oleh pelanggan sekiranya ingin membeli pakaian sepersalinan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here