PEKAN – Persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan yang berlangsung pada Sabtu melengkapkan kesemua 191 mesyuarat perwakilan bahagian yang bermula sejak 27 Julai lepas.

Umno Pekan antara bahagian yang mendapat kebenaran bermesyuarat melepasi tarikh akhir yang ditetapkan pada 31 Ogos selepas mengambil kira komitmen ketua bahagian Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden parti dan perdana menteri.

Persidangan perwakilan bahagian tahun ini cukup menarik kerana sebahagian besarnya berlangsung kebetulan selepas rombakan kabinet pada 28 Julai lepas.

Rombakan yang menyaksikan timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi timbalan perdana menteri dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah tidak lagi menjadi anggota jemaah menteri telah menambahkan warna-warni persidangan bahagian kali ini.

Perkembangan itu menarik perhatian para anggota Umno serta pemerhati politik berhubung “siapa rasmi bahagian mana, apa yang perasmi itu bercakap dan apakah usul yang dibawa oleh bahagian”.

Pelantikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri turut menarik perhatian.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, kesemua mesyuarat berlangsung mengikut jadual dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Rata-rata ucapan perbahasan banyak menyentuh mengenai cabaran ekonomi, politik dan isu-isu semasa walaupun terdapat sebahagian kecil sahaja perbahasan yang dianggap “panas”.

Timbul juga sedikit kegusaran dalam kalangan para anggota parti apabila terdapat desas-desus kononnya Muhyiddin dan Mohd Shafie akan dipecat daripada jawatan parti masing-masing.

Keadaan menjadi reda apabila mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Rabu lepas menjawab segala khabar angin itu apabila soal pemecatan itu langsung tiada dalam agenda mesyuarat.

Muhyiddin dan Mohd Shafie hadir pada mesyuarat itu, malah Muhyiddin duduk di sebelah Najib semasa sidang akhbar kemudian.

Mohd Shafie juga menyertai sidang akhbar itu dengan duduk sebaris dengan dua lagi naib presiden parti.

Mesyuarat itu dilihat dapat merapatkan lagi saf kepimpinan tertinggi parti, suatu perkembangan positif yang dinanti-nantikan para anggota parti serta pemerhati politik.

Muhyiddin dan Mohd Shafie juga menyatakan komitmen untuk meneruskan perjuangan demi kepentingan UMNO walaupun mereka tidak lagi berada di dalam kerajaan pusat.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here