Pencen

Penjawat awam ialah kelompok terpenting dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan dan dilihat sebagai tulang belakang dalam menentukan kejayaan atau kegagalan Kerajaan itu. Di Malaysia, penjawat awam sering diseru agar tidak memihak dalam menjalankan tugas dan sentiasa bersikap neutral serta berkhidmat untuk Kerajaan yang memerintah pada hari ini. Ini merupakan prinsip asas yang teguh dan harus dihormati. Prinsip seperti ini sebenarnya membantu penjawat awam untuk menjalankan tugas dengan lebih baik dan teratur.

Penjawat awam khasnya mereka yang memegang jawatan tinggi mempunyai kuasa yang lebih luas untuk menentukan hala tuju dasar dan keputusan Kerajaan di samping mempunyai keperluan untuk mengetepikan sebarang pengaruh politik demi memastikan Kerajaan yang ada ditadbir secara benar dan telus. Namun, persepsi masyarakat umum sukar untuk diubah dan penjawat awam sering dikaitkan sebagai kelompok yang sentiasa berkhidmat dengan memihak kepada parti pemerintah.

Ini ialah pandangan kurang tepat yang harus dibetulkan kerana penjawat awam bekerja untuk Kerajaan sedia ada dan tidak memihak kepada sesiapa pun dan jika Kerajaan sedia ada bertukar tangan, sudah tentu penjawat awam yang sama juga akan bekerja keras untuk mempertahan Kerajaan berkenaan.

Namun begitu terdapat segelintir penjawat awam yang dilihat tidak mempunyai niat yang benar dalam melakukan pekerjaan dan kadangkala boleh disifatkan takut untuk menyatakan kebenaran kerana mahu menjaga pangkat dan kuasa yang telah diperoleh. Maka sebarang kepincangan sewaktu sedang berada dalam pentadbiran yang sewajarnya dibetulkan dengan bersungguh-sungguh telah disorokkan. Tidak mahu berkata benar dan jujur ini merupakan penyakit serius yang sewajarnya dihindari.

Golongan seperti ini sebenarnya lebih selesa menyindir, mengkritik atau menghentam Kerajaan selepas mereka pencen dan tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa untuk membuat perubahan. Mereka seperti lupa ketika di dalam pentadbiran dahulu, mereka langsung tidak mengambil apa-apa tindakan, tetapi setelah bersara, mereka mula Nampak segala-gala yang tidak benar tentang Kerajaan yang memerintah. Penjawat awam yang dijangkiti sindrom pencen ini sebenarnya perlu dirawat.

Berkata benar dan mengambil tindakan ketika berkuasa adalah lebih baik berbanding berdiam diri ketika mampu melakukan perubahan. Pandangan penjawat awam seperti ini seperti ini sebenarnya jelas dipengaruhi oleh suara politik sumbang dan secara tidak langsung telah menjejaskan kredibiliti peribadi mereka sendiri. Misalnya seorang bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggap terdapat banyak kelemahan dan peluang manipulasi dalam sistem pilihan raya di Malaysia atau seorang bekas Ketua Polis Negara yang menganggap jenayah di Malaysia turut disokong segelintir orang politik.

Tuduhan seperti ini muncul dan mula kita dengar selepas mereka bersara, tetapi mereka ini semuanya sunyi menyepi ketika berkuasa malah lebih pelik mereka pula mempertahan keadaan yang sekarang ini mereka anggap sebagai tidak benar. Malaysia sebenarnya memerlukan penjawat awam yang memiliki sikap positif, jujur, berintegriti dan berani menyatakan kebenaran dan bukannya penjawat awam yang hanya berani selepas bersara dan suara mereka itu pula dipengaruhi bunyi-bunyian sumbang politikus yang memainkan pita rakaman.

SHARE
Previous articlePenyokong Bimbang Kesihatan Tun Mahathir
Next articleBin Abdullah
Fuad Shahdan adalah wartawan jalanan dan juga kolumnis Malaysian Access. Beliau melihat isu dari kaca mata tanpa prejudis dan boleh membuatkan manusia terasa hati. Yang benar memang pahit.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here