PADA 21 Jun 2017, Kabinet sebulat suara bersetuju sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1980-an dan 1990-an.

Keputusan tersebut dicapai hasil syor Pasukan Petugas Khas (PPK) siasatan kerugian berkenaan yang telah selesai melaksanakan tanggungjawabnya.

Dalam laporan tersebut, PPK mendapati wujudnya kes prima facie bagi kerugian BNM sekitar tahun 1980-an dan 1990-an dan telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Penubuhan RCI ini akan membolehkan siasatan terperinci yang lebih menyeluruh dapat dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan dan dilindungi (immunity) di bawah Akta 119.

Pada 21 Ogos 2017, prosiding pendengaran pertama RCI BNM bermula di Istana Kehakiman di Putrajaya.

Prosiding yang bermula pukul 9 pagi itu dijalankan di hadapan panel RCI yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Turut menganggotai RCI tersebut ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad; Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu.

Prosiding pertama berkenaan pastinya mengejutkan pelbagai pihak.

Antara pendedahan itu ialah BNM kerugian RM31.516 bilion berbanding yang diuar-uarkan iaitu hanya RM9 bilion.

Jumlah kerugian ini bukan kecil sehingga bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid menyifatkannya sebagai kerugian terbesar dalam sejarah perbankan dunia.

Pastinya banyak persoalan akan terlerai berhubung skandal urus niaga mata wang asing ini yang telah dilaporkan BNM kepada kerajaan.

Persoalan utama ialah siapakah yang bertanggungjawab menutup atau menyembunyikan skandal berkenaan?

Perkara ini pasti akan disiasat dan didedahkan oleh RCI berkenaan.

Pada prosiding berkenaan, turut dimaklumkan, BNM mengalami kerugian sebanyak RM34.547 bilion ekoran aktiviti perdagangan mata wang.

Bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf memaklumkan kerugian yang dicatatkan itu bermula 1988 sehingga 1994 seperti yang dinyatakan dalam laporan urus niaga mata wang asing bertajuk Accoun­ting Treatment of Losses Arising from Active Reserve Management yang disediakannya.

Jumlah kerugian yang dicatatkan pada 1988 dan 1989 berjumlah RM3.031 bilion manakala jumlah keseluruhan bagi tahun 1991 hingga 1994 berjumlah RM31.516 bilion.

Abdul Aziz memaklumkan telah diarahkan oleh bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz untuk mengumpul maklumat dan menyediakan laporan tersebut pada 2007 dan siap sepenuhnya pada 18 April 2007 sebelum diserahkan kepada Zeti pada April 2010.

RCI BNM perlu memastikan individu yang mengarahkan kerugian berkenaan disembunyikan dikenal pasti.

Ini kerana berdasarkan pendengaran pada prosiding pada 21 Ogos lepas, fakta yang diperoleh adalah berlakunya pengolahan akaun di BNM yang menyembunyikan kerugian besar itu.

Kerugian BNM pada tahun 1992, 1993 dan 1994 adalah berjumlah RM31.5 bilion, faktanya, telah berlaku pengolahan akaun BNM untuk menyembunyikannya.

Siapa yang bertanggungjawab melakukan pengolahan akaun itu?

Adakah tindakan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap kerugian BNM berkenaan?

Sudah tentu belum ada tindakan dan sehingga kini siapa individu berkenaan masih belum diketahui.

Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kepada BNM yang memiliki reputasi tinggi.

Kini menjadi tanggungjawab RCI BNM menyiasat perkara itu bagi memastikan kebenaran sebenar diketahui.

Jangan biarkan individu yang melakukan perbuatan itu terlepas.

Kebenaran perkara itu perlu didedahkan dan tidak boleh disembunyikan di sebalik OSA (Akta Rahsia Rasmi).

Penubuhan RCI membolehkan rakyat diberi penjelasan tentang punca sebenar yang menyebabkan kerugian tersebut.

Individu berkenaan, bersedialah …

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here