DALAM kehidupan sehari-hari, kita sering mendengar berita yang tidak jelas asal-usulnya.

Kadang-kadang ia hanya isu kecil dan sengaja diperbesarkan dalam berita yang diedarkan atau sebaliknya.

Bagaimanakah sikap kita terhadap berita yang belum tahu kebenarannya dan bersumber dari orang yang belum kita ketahui kejujurannya?

Adakah kita perlu terus mempercayai dan menularkannya di laman sosial?

Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman yang maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al Hujurat : 6).

Allah SWT sendiri meminta kita terutama umat Islam memeriksa terlebih dahulu berita yang diterima bagi mengetahui kesahihannya.

Berita palsu merupakan satu ancaman kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Rakyat boleh merusuh dan membenci disebabkan tindakan seperti ini.

Sehubungan itu, kerajaan te­lah membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu di negara ini.

Jawatankuasa khas itu bertanggungjawab mengkaji undang-undang ber­kaitan sebelum dibawa kepada pertimbangan Kabinet dan ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Antara agensi yang menganggotai jawatankuasa khas itu adalah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Bahagian Hal Ehwal Undang-undang.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mengkaji untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu namun perkara tersebut tidak bermakna kerajaan akan mengawal internet.

Namun ekoran tindakan kerajaan itu, tampil pula pihak yang tidak bersetuju dan mempertikai keputusan berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, jawatankuasa itu tidak memberi keyakinan kepada orang ramai dan bemungkinan besar ia akan dijadikan ‘senjata’ oleh pihak berkuasa bagi menganiaya seteru politik masing-masing.

Kit Siang turut mendakwa, jawatankuasa itu kelihatan tidak bebas kerana dakwanya Barisan Nasional (BN) kini merupakan pengeluar terbesar berita palsu di negara ini.

Adakah Kit Siang sebenarnya bimbang dengan usaha kerajaan bagi mengekang penyebaran berita palsu?

Umum pastinya mengetahui, tentera siber DAP, Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bukan sahaja misinya untuk menyerang BN tetapi sesiapa sahaja yang menyokong parti itu.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun.

Red Bean Army yang berpangkalan di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan juga di pejabat Komtar, Pulau Pinang akan menyerang serta menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang bercakap buruk mengenai DAP.

Objektif mereka mudah. Pertama ialah memastikan isu yang dicipta oleh mereka tersebar luas secara dalam talian dan kedua, memberi kesan psikologikal kepada individu tertentu sehingga bersara daripada politik.

Ketiganya, mereka mahu melemahkan semangat orang tertentu dan menafikan segala kebenaran yang didedahkan.

Bekas Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim turut mendakwa DAP merupakan sebuah parti yang menjadi ejen penyebar berita palsu menerusi tentera siber mereka, Red Bean Army sebagaimana dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Penyebaran berita palsu yang digerakkan oleh DAP lebih dahsyat sehingga pada suatu tahap ditafsirkan sebagai fitnah bertujuan mahu menjatuhkan kepemimpinan dan mencalarkan imej negara.

Sebagai contoh, bertahun-tahun mereka mendakwa negara ini bankrap, adakah itu bukan berita palsu?

Adakah Kit Siang mahu melarikan diri daripada tuduhan DAP yang memulakan berita palsu di negara ini?

Ternyata Kit Siang panas punggung apabila kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu.

Jika tidak, veteran DAP itu tidak akan berkokok sedemikian seolah-olah takut rahsia parti itu yang selama ini menyebarkan berita palsu terbongkar.

Biarlah Kit Siang terus bising dan meluahkan rasa tidak puas hati. Paling penting undang-undang bendung berita palsu perlu diwujudkan dan tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang melakukan perbuatan berkenaan.

Cukup-cukuplah rakyat ditipu dan dimanipulasi dengan berita palsu yang sengaja dicipta untuk memporak-perandakan masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here