Siapa Sarawak

Sejak akhir-akhir ini Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan kerap berbeza pandangan dan lebih merisaukan perbezaan ini dinyatakan secara terbuka di ruangan media sehingga menimbulkan sedikit keresahan. Antara pergeseran penting sebelum ini ialah berhubung pelaksanaan Cukai Pelancongan 2017 apabila salah seorang Exco Kerajaan Negeri Sarawak meminta Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengkaji semula pelaksanaan cukai berkenaan.

Permintaan itu bagaimanapun mendapat sambutan dingin daripada Menteri Persekutuan terlibat malah jawapan yang diberikan oleh Menteri berkenaan juga tidak dapat diterima lantas menimbulkan perbalahan. Walaupun pergeseran berkenaan tidak berpanjangan dan YAB Perdana Menteri berjaya dengan segera menamatkannya, tetapi kesan daripada hal itu dilihat terus merebak. Malah baru-baru ini Exco Kerajaan Negeri Sarawak berkenaan juga menegaskan Sarawak tidak akan melaksanakan cukai itu.

Sebelum ini juga berlaku beberapa perkara menarik berhubung hubungan Sarawak dengan Kerajaan Pusat, misalnya mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adnan Satem dilihat mengambil keputusan tegas berkaitan sistem dan dasar Pendidikan misalnya mengenai keputusan memberi kebenaran untuk memperaku pensijilan Unified Examination Certificate (UEC) di Sarawak walaupun Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pendidikan tidak pernah bersetuju untuk memperaku UEC sebagai sebahagian daripada kaedah pensijilan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Agensi Berita BERNAMA dalam satu laporan semalam menyebut Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah mengambil tindakan luar jangkaan dengan menghantar pasukan peguam yang diketuai Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ke London untuk mencari dan meneliti rujukan sah berhubung Perjanjian Malaysia 1963. Menurut Abang Johari tindakan berkenaan dilihat penting bagi menentukan hak-hak sebenar Sarawak seperti yang termaktub di bawah perjanjian berkenaan.

Johari juga dengan tegas menyatakan bahawa perjanjian berkenaan bukan satu alat permainan yang boleh dipandang rendah, malah perjanjian berkenaan perlu dilihat pada perspektif tepat. Sehubungan itu, beliau berpandangan jika Sarawak mahu menuntut hak atau sebarang kepentingan berkaitan, Kerajaan Negeri perlu membuat kajian yang menyeluruh di samping dilengkapi fakta-fakta yang betul. Beliau juga menegaskan Sarawak bersedia untuk melaksanakan apa-apa kajian yang bersesuaian bagi memastikan setiap tuntutan hak negeri berkenaan dapat dipertahankan melalui peruntukan-peruntukan yang telah ditetapkan oleh Perjanjian berkenaan.

Penegasan yang dibuat oleh pentadbiran Sarawak ini merupakan satu petanda penting buat Kerajaan Pusat dan Sarawak tidak harus dilayan sebagai ruang mendapatkan undi dan mengekalkan kuasa semata-mata. Sarawak kini harus dilayan dengan lebih adil dan dipenuhi segala keperluan yang sejajarnya dengan Perjanjian itu. Kekuatan terpenting Sarawak ialah parti-partinya bersifat tempatan dan mewakili etnik-etnik yang ada di negeri berkenaan. Sehubungan itu, pengekalan hubungan dan penyelesaian setiap isu secara harmoni amat diperlukan. Sarawak dan Sabah merupakan kawasan terpenting kepada Barisan Nasional jika legasi kuasa kini mahu dipertahankan. Berdasarkan kepada sentimen dan trend pengundian di pilihan raya umum lalu jika hanya bergantung kepada negeri-negeri di Semenanjung semata-mata, maka Kerajaan Barisan Nasional sudah lama tumbang.

Melihat kepada keadaan ini, Kerajaan Negeri Sarawak bijak mengambil peluang dan kesempatan yang ada berpaksikan kepada lunas undang-undang. Maka selepas ini Kerajaan Pusat juga harus memiliki hujah dan keupayaan yang kukuh untuk memberi jawapan balas kepada laporan pasukan peguam Kerajaan Negeri Sarawak yang dihantar ke London itu.

Kerajaan Barisan Nasional perlu memastikan Sarawak terus kekal dalam dakapan bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap keutuhan gabungan politik berkenaan. Sarawak kini semakin ke depan dalam menuntuk hak dan setiap daripada tuntutan ini harus diperhalusi melalui tindakan-tindakan yang wajar dan bukan dengan janji-janji tiada erti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here