PENTADBIRAN bermandat BN sebelum ini telah menyaksikan Malaysia mencapai begitu banyak kemajuan dan kemakmuran di mana hasilnya jelas dituai dan dinikmati rakyat di seluruh negara. Ianya juga terhasil daripada pertimbangan bijak Najib yang tidak menganak tiri mana-mana kawasan dan negeri dalam arus pembangunan yang bergerak semakin laju.

Justeru kita melihat jaringan kemudahan awam yang hampir menutup jurang antara kesemua negeri di Malaysia. Projek-projek berimpak tinggi seperti ECRL, MRT, HSR yang menghubungkan KL-Singapura, Lebuh Raya Pan Borneo, Bandar Malaysia dan Menara KL118 adalah antara contoh yang samada sudah beroperasi ataupun dalam fasa pembinaan dan pelaksanaan.

Kita pasti sebahagian besar rakyat sudah pun merasai sendiri sebahagian daripada kemudahan dan projek yang disenaraikan tersebut. Dan pastinya mereka tertunggu-tunggu pula untuk terus melalui pengalaman yang lebih bermakna apabila projek-projek besar yang sangat penting seperti Lebuh Raya Pan Borneo, ECRL dan HSR siap sepenuhnya kelak.

Namun harapan ke arah penzahiran pelaksanaan projek-projek seperti ini mungkin sahaja akan direncatkan sekiranya pembangkang khususnya Pakatan Harapan diberikan mandat untuk memerintah pasca PRU kelak. Sejak awal-awal lagi pakatan itu sudah melaungkan hasrat mereka untuk membatalkan projek-projek sebegini demi mencapai agenda politik mereka yang tentunya berkisarkan tentang pembunuhan legasi Najib Razak.

Dalam hal ini, nyata sekali bahawa pembangkang langsung tidak memikirkan tentang kebajikan, kepentingan dan kemaslahatan rakyat. Bahkan mereka tidak juga mengambil kira apakah kesan besar yang bakal menimpa ekonomi negara sekiranya projek-projek sebegini dibatalkan begitu sahaja.

Pembatalan projek-projek ini bukan hanya akan menyekat akses rakyat kepada kemudahan-kemudahan yang sepatutnya memudahkan urusan mereka, ianya juga tentunya akan memberikan kesan yang sangat negatif kepada sektor perkhidmatan negara di mana lebih 2 juta orang akan hilang peluang pekerjaan. Ini adalah satu kerugian besar kepada negara lebih-lebih lagi apabila kita mengambil kira sebahagian daripada pekerja-pekerja ini adalah mereka yang berkemahiran tinggi.

Hasrat pembangkang ini jika direalisasikan kelak turut akan terus membuka jurang perbezaan yang sangat luas antara beberapa negeri dengan bandar-bandar pesat di Lembah Klang. Natijahnya, taraf hidup rakyat di kawasan-kawasan yang terkesan akan kekal tidak berubah dan isu kos sara hidup yang menyelubungi mereka kini tidak akan selesai dalam jangka masa panjang.

Keadaan pasti akan bertambah menjadi lebih buruk dan membimbangkan sekiranya para pelabur asing mula hilang keyakinan terhadap Malaysia yang pada ketika itu dilihat sudah tidak lagi komited untuk meneruskan agenda pembangunan yang kini sedang berjalan dengan rancaknya.

Entah apa yang bermain di fikiran pemimpin pembangkang tatkala mereka secara membabi buta berjanji untuk menilai semula dan membatalkan beberapa projek berimpak tinggi ini. Hasrat mereka itu benar-benar perlu dipersoalkan kerana kita semua tahu bagaimana projek-projek pembangunan itu telah terbukti menjadi kunci kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan yang banyak tercipta sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Meneliti trend sokongan rakyat menjelang PRU14, BN diyakini akan terus diberikan mandat oleh rakyat untuk terus memerintah. Hakikat ini tidaklah 100% terhasil daripada usaha dan komitmen BN sahaja, tetapi yang menariknya ianya juga ‘disumbangkan’ oleh sikap dan pendirian pembangkang yang tidak bertanggungjawab sehinggakan projek-projek yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat pun mahu mereka sabotaj semata-mata mahu menggagalkan legasi BN dan Najib sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here