DITUBUHKAN pada 2013, Felda Investment Corporation (FIC) adalah cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan tumpuan kepada sektor hartanah, keraian serta minyak dan gas.

FIC dikatakan membeli sebuah hotel di Kengsington, London pada harga yang tinggi, RM330 juta sedangkan nilai sebenar dikatakan berharga RM110 juta.

Pembelian sebuah hotel di Kuching pada nilai RM160 juta turut dikatakan bernilai lebih RM50 juta daripada nilai sebenar.

Pengerusi Felda ketika itu, Tan Sri Mohd. Isa Samad dilaporkan berkata pembelian pembelian Grand Plaza Kengsington itu sebahagian daripada langkah strategik FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat memaksimumkan pulangan pelaburan syarikat.

Pembelian itu menjadi pelaburan ke-12 FIC dalam portfolio keraian, selepas Felda membayar RM538 juta untuk sebuah pangsapuri perkhidmatan 198 unit di Bayswater, London pada 2013.

Disebabkan dakwaan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melalukan siasatan terhadap beberapa individu termasuk Mohd. Isa.

Mahkamah Majistret Putrajaya memerintahkan Mohd. Isa direman di lokap Ibu pejabat SPRM selama lima hari bermula 16 Ogos 2017.

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin membuat perintah tersebut ketika membenarkan permohonan SPRM supaya Mohd. Isa direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Tahan reman tersebut dibuat bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian sebuah hotel di London, United Kingdom (UK) oleh FIC.

Bekas Pengerusi Felda itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan berhubung pembelian hotel di London di antara 2014 dan 2015.

Persoalannya, siapa sebenarnya menjadi dalang dalam isu FIC tersebut?

Biarlah SPRM menyiasat perkara itu demi memastikan dalang sebenarnya dibawa ke muka pengadilan.

Kita tidak mahu nama institusi Felda menjadi ‘kotor’ disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjwab itu.

Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman sawit dan getah.

Antara fungsi Felda adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

Pada tahun 1990, Felda tidak lagi membuat pengambilan peneroka baru.

Kerajaan telah memberi kepercayaan kepada Felda untuk berdiri dengan kewangan sendiri dan menjadi sebuah badan berkanun yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk menyokong pelbagai perkembangan melalui pelbagai perniagaannya.

Mulai tahun 1994 kerajaan juga tidak lagi menyalurkan apa-apa peruntukan kepada Felda. Sebagai usaha menjana pendapatan, Felda telah melancarkan beberapa entiti korporat swasta terutamanya untuk memastikan rantaian nilai yang lengkap aktiviti terasnya.

Antara yang terbesar adalah Koperasi Permodalan Felda (KPF), Felda Global Ventures Holdings (FGV) dan FIC.

Sehingga kini, Felda terus menjalankan peranan utama dengan menyediakan kemudahan yang mencukupi dan moden di kawasan tanah rancangan, memastikan generasi seterusnya peneroka berpendidikan tinggi untuk meningkatkan sosio ekonomi mereka.

Felda turut memastikan rancangan Felda dapat menjana pelbagai aktiviti ekonomi di samping merapatkan jurang antara bandar dan kawasan bandar kecil.

Fokus Felda adalah untuk menjadi ‘Economic Powerhouse’ dalam menjana pelbagai aktiviti ekonomi pada tahun 2020 melalui program berstrukturnya dengan modal insan yang mempunyai pelbagai potensi.

Persoalannya, adakah hasrat Felda akan berjaya jika pelbagai masalah timbul membabitkan organisasi itu?

Sebelum ini kelemut FGV dan kini FIC. Kemelut itu pastinya tidak akan berlaku jika tiada pihak yang membuatnya.

Felda perlu menyelesaikan isu membabitkan FGV dan FIC. Jangan biarkan isu terbabit menjejaskan Felda dan reputasi baik institusi itu dalam membela nasib warga peneroka.

Kenapa isu berkenaan berlaku?

Jika bukan disebabkan rasuah dan salah guna kuasa, kemelut membabitkan FGV dan FIC tidak akan berlaku.

Ketua Pesuruhjaya, SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad pernah membangkitkan supaya kerajaan mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.

Sudah tiba masanya bagi semua pihak untuk bersama menyatakan sokongan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa adalah isu nasional yang perlu ditangani bersama oleh semua pihak.

Sememangnya kerajaan perlu memenuhi misi SPRM dalam soal tersebut.

Rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh lagi dilayan ­seperti mana jenayah-jenayah lain. Ini memandangkan sehebat mana pun usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi menyejahterakan rakyat dan sekuat mana pun undang-undang yang digubal bagi menjamin ketenteraman negara, tidak akan bermakna jika rasuah dan salah guna kuasa masih bermaharajalela.

Pengisytiharan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara wajar dan harus dilakukan kerana kita tidak boleh selama-lamanya membiarkan ia menjadi satu penyakit yang seolah-olah tidak ada ubatnya.

Dzulkifli dan SPRM sudah ­menunjukkan ketegasan mereka melalui tindakan-tindakan agresif yang dilakukan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi ia masih belum mencukupi.

Atas sebab itulah dengan menjadikan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara, ia akan mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab bersama untuk memerangi jenayah tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here