Fakta klise yang selalu disogokkan kepada penonton dan mungkin juga ia diguna pakai selaku pelaris sesebuah drama, selalunya watak utama wanita yang menjadi daya penarik bersifat cantik, langsing dan menawan.

Namun, untuk memaparkan sedikit kelainan, sekali gus mewujudkan kesedaran kepada penonton, A. Aida Production Sdn. Bhd. tampil dengan sebuah naskhah segar berjudul Si Montel pada 11 September ini.

Mengangkat martabat seorang wanita yang memiliki fizikal besar, Si Montel diterajui oleh pelakon comel Dottie di samping pelakon baharu yang semakin meningkat naik, Azrel Ismail, Janna Nick, Adibah Noor dan Ezzaty Abdullah.

Menurut penerbitnya, A. Aida, motif menampilkan kelainan adalah sebab utama mengapa dia menerbitkan drama Si Montel. Lebih-lebih lagi, ia adalah peluang untuk pelakon berbakat seperti Dottie yang memiliki tubuh badan besar bagi membuktikan kemampuan.

“Selain jalan cerita yang comel dan santai, apa yang membuatkan drama ini unik kerana watak utamanya. Bukan selalu wanita berbadan besar diberi peluang untuk memegang watak utama seumpama ini dan setidak-tidaknya dengan watak Montel, ia mampu memberi mesej berguna kepada penonton di luar sana.

“Walaupun drama ini berunsur komedi tetapi terlalu banyak mesej yang ingin disampaikan. Antaranya, jangan memandang rendah terhadap wanita berbadan besar kerana mereka juga mempunyai daya tarikan tersendiri berbanding wanita bertubuh kecil,” ujar A. Aida sewaktu sidang akhbar pelancaran drama tersebut di Megaview Banquet, Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah, kesempatan yang diberikan pihak HyppTV digunakan sebaik mungkin untuk terus menghasilkan karya bermutu untuk penonton HyppSensasi.

“Dengan menyajikan cerita yang unik dan sarat pengajaran positif, ia diharapkan mampu menepati selera penonton pada masa kini.

“Kami juga sangat berharap agar drama seumpama ini akan diangkat menjadi inspirasi kepada gadis berbadan besar di luar sana untuk terus berjaya dalam apa sahaja yang mereka lakukan.

“Apa yang penting, jangan rendah diri dan tanam dalam diri bahawa manusia semuanya sama sahaja,” ujarnya.

Bagi teraju utama drama itu, Nor Syuhaida atau dikenali sebagai Dottie, dia teruja kerana diberi kepercayaan menjayakan Si Montel.

“Cabaran berlakon dalam drama ini tidak terlalu berat kerana watak yang diberikan persis cermin bagi diri sendiri. Cuma bagi saya, untuk mengekalkan momentum lucu dan bersahaja juga terkadang memberi kesan kepada lakonan.

“Walaupun ia nampak santai dan ringan tetapi sebenarnya drama seperti ini banyak memberi pengajaran. Dalam lucu, ada mesej dan begitu sebaliknya. Saya sangat sukakan jalan cerita sebegini sebab ia bukan berunjurkan hiburan semata-mata tetapi nilai-nilai positif yang diselitkan itu perlu dititikberatkan,” tuturnya ceria.

Sementara itu, bagi Azrel Ismail yang memegang watak sebagai Asri, dia menyifatkan penglibatannya dalam drama tersebut adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan. Meskipun konsep drama tersebut santai dan komedi, namun jalan cerita yang menarik membuatkan dia mahu terbabit dalam Si Montel.

Jarang untuk mana-mana pengkarya yang mahu mengetengahkan gadis berbadan besar menjadi watak utama. Ia sesuatu yang sangat menarik untuk diketengahkan kepada penonton kerana tidak semestinya kekurangan dari segi fizikal, seseorang itu perlu dipandang rendah oleh masyarakat.

“Pertama kali bergandingan dengan Dottie, ia pengalaman yang bagus. Tidak semestinya harus bergandingan dengan pelakon wanita kurus dan cantik untuk menghasilkan sebuah karya yang hebat,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here