TIMBUL kini dakwaan Pakatan Harapan (PH) tidak serius untuk mendaftarkan gagasan mereka sebagai satu entiti politik bagi membolehkan mereka bertanding di bawah satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Benarkah dakwaan tersebut?

Pembangkang sebenarnya dilihat seakan-akan sudah terbiasa bertanding di bawah logo sendiri sejak daripada zaman Pakatan Alternatif lagi.

Jadi, ramai yang melihat pembangkang realitinya tidak bersungguh-sungguh hendak mewujudkan Pakatan Harapan.

Tapi, itu memang perangai mereka sebab semasa Pakatan Alternatif, mereka tidak berdaftar dan bertanding di bawah bendera masing-masing.

Jadi, adakah itu memang cara pembangkang sejak dari dahulu?

Pada 14 Mac 2017, Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa partinya mencapai persetujuan mengenai beberapa perkara berhubung pakatan gabungan yang bakal dibentuk bagi menghadapi PRU-14.

Beberapa perkara diputuskan secara rasmi sebagai ketetapan kewujudan sebuah pakatan termasuklah sentiasa terbuka menerima apa juga parti yang berminat menyertai gabungan itu.

Persetujuan turut dicapai bagi menyesuaikan nama gabungan yang dipersetujui parti pakatan yang bakal dibentuk tidak lama lagi.

PPBM secara prinsip bersetuju untuk menggunakan hanya satu logo, satu simbol dan manifesto yang sama bagi pakatan.

PPBM juga setuju dan memutuskan hanya satu calon sahaja diletak mewakili parti gabungan yang bakal dibentuk nanti.

Namun, sehingga kini, Pakatan Harapan masih belum dapat didaftarkan sebagai satu gabungan parti politik.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dikatakan masih belum meluluskan permohonan parti itu disebabkan masalah dalaman dua parti komponennya, DAP dan PPBM.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim sebelum ini selepas mengadakan pertemuan bersama pemimpim tertinggi Pakatan Harapan yang diketuai Mahathir.

Mahathir selepas perjumpaan tersebut meluahkan rasa kecewanya dan mendakwa RoS sengaja melengahkan proses pendaftaran Pakatan Harapan dengan membiarkan status gabungan itu menjadi misteri.

Sepatutnya menjadi tanggungjawab parti itu sendiri untuk mendapatkan segala perkembangan berhubung pendaftaran parti mereka, dan bukannya sekadar menunggu keputusan daripada RoS sahaja.

Pakatan Harapan seakan sengaja mahu menunjukkan kepada rakyat tentang kekejaman kerajaan terhadap ekoran masih gagal didaftarkan.

Adakah Mahathir akan mengaku apa yang berlaku itu adalah salahnya?

Difahamkan pendaftaran PPBM yang dipengerusikan Dr Mahathir sendiri juga mungkin akan dibatalkan selepas melanggar perlembagaan parti.

Ia selepas parti itu tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

Sementara itu DAP pula dibelenggu masalah pemilihan ekoran RoS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kerana pertubuhan itu tidak mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Bagaimanapun, DAP pada 12 November lalu mengadakan pemilihan semula CEC dengan dikendalikan badan audit bebas, Grant Thornton.

Adakah usaha melengahkan pendaftaran Pakatan Harapan juga satu strategi DAP?

Umum pasti tahu bahawa logo roket merupakan simbol kekuatan DAP terhadap komuniti pengundi Cina.

Jika menggunakan logo lain, parti itu berisiko kehilangan sebahagian undi daripada kaum tersebut.

Pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor pada Jun 2016 , DAP mengakui telah berhadapan dengan cabaran besar untuk memperkenalkan logo PAN dalam komuniti Cina.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, segelintir masyarakat Cina di kawasan Sekinchan, Selangor memaklumkan mereka keliru dengan simbol PAN kerana sebelum ini mereka hanya melihat simbol roket sahaja.

Ternyata DAP sebelum ini telah mempersendakan impian Mahathir untuk mewujudkan logo bersama Pakatan Harapan menyifatkan cadangan itu hanya bermatlamat jangka masa pendek.

Malahan, Ahli Jawatankuasa DAP, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu tidak penting dan PPBM dinasihatkan untuk mengutamakan rangka kerja bersama sebelum memikirkan soal tersebut.

Jadi, adakah Pakatan Harapan akan sempat didaftarkan sebelum PRU-14?

Jika tiada halangan dari gabungan pakatan itu sendiri, hasrat itu pasti mudah untuk direalisasikan.

Sifirnya mudah, jika semua parti dalam pakatan tersebut bersungguh-sungguh mendaftarkan gabungan mereka, prosesnya pasti mudah kerana dilakukan bersama.

Tetapi, seakan ada ‘tangan misteri’ yang mahu menggagalkan pendaftaran Pakatan Harapan.

Di pihak pakatan itu, semua yang berlaku adalah salah kerajaan dan sememangnya itu tujuan mereka demi meraih simpati daripada rakyat.

Rakyat seharusnya mempersoal sejauh mana seriusnya gabungan Pakatan Harapan dalam membentuk satu entiti politik.

Nampak seakan ada sesuatu yang mahu disembunyikan …

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here