Bukan hanya Pas, sebaliknya semua parti akan terkesan sekiranya Kempen #undi­rosak yang dimainkan di laman-laman sosial direalisasikan pada PRU14.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, kempen yang tidak sihat itu sebenarnya tidak mampu menyelesaikan masalah kerana PRU akan tetap berlangsung.

Menurutnya, namun tindakan memboikot itu akan menyebabkan jumlah undi sesebuah parti akan berkurangan daripada sepatutnya.

“Sikap seperti ini perlu ditangkis kerana memilih pemimpin adalah tanggungjawab agama, satu amanah yang cukup besar.

“Mengundi adalah satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh orang Islam. Kita menentang sekeras-kerasnya kempen seperti ini. Ini satu kempen yang salah,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan lawatan di sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Dun Beserah di sini, hari ini.

Kempen #UndiRosak digerakkan di laman sosial terutama Twitter, tidak bertujuan mempengaruhi kepercayaan pengundi, sebaliknya mahu ‘mendidik’ mereka untuk memberi pengajaran kepada pembangkang.

Perkara tersebut  timbul pada 7 Januari lalu selepas pembangkang menamakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai calon perdana menteri jika menang PRU14.

Fokus utama ialah mengajak golongan muda merosakkan undi pada PRU akan datang.

Tanpa sebarang organisasi rasmi, aktivis berkempen melalui media sosial milik peribadi untuk mengajak masyarakat merosakkan undi.

Dalam pada itu, Andansura meminta rakyat terutamanya golongan muda menggunakan pertimbangan akal sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengundi parti mana mewakili mereka.

Katanya, fikirlah dengan rasional kerana Pas akan membawa perubahan Pas akan berikan kepada mereka, sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negeri ini.

Beliau bagaimanapun, yakin rakyat bijak membuat penilaian dan mampu memilih calon dan parti yang mampu menjaga kebajikan mereka.

Jelasnya, Pas akan terus mengatur gerak kerja bagi memastikan Pas terus diterima rakyat menerusi menifesto yang telah didedahkan kepada mereka sebelum ini.

‘‘Saya yakin, rakyat boleh menilai segala usaha yang Pas sudah lakukan,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here