SEMANGAT nasionalisme pasti menjengah sanubari rakyat Malaysia apabila menjelangnya Hari Kemerdekaan, 31 Ogos pada setiap tahun tanpa mengira kedudukan, peringkat usia, bangsa mahupun agama. Jiwa patriotik warga Malaysia tidak pernah gagal melunaskan tanggungjawabnya apabila kita dapat melihat semarak jalur gemilang yang berkibar, bangunan atau kenderaan, dan juga bidang seni yang cukup sinonim menjelang kemerdekaan.

Mempertahankan kemerdekaan sebenarnya bukan usaha pasukan tentera atau badan beruniform sahaja. Tetapi boleh direalisasi oleh anak seni.Tiga pelakon, Faye Kusairi, Aidil Aziz dan Syaffiq Sahli, masing-masing mempunyai ceritera tersendiri dalam merungkai erti kebebasan sejati.

Sebagai generasi baharu yang tidak melalui zaman peperangan atau keperitan hidup, ketiga-tiga anak muda ini sebaliknya bercakap tentang merdeka dalam konteks kebebasan minda.

Wanita kelahiran Miri, Sarawak, Faye berpendapat kecintaan dan kebanggaan menjadi anak Malaysia yang merdeka harus lahir dari dalam diri sendiri setiap masa, bukannya perasaan bermusim yang hanya hadir ketika 31 Ogos.

Seharusnya kemerdekaan itu menjadi sesuatu perkara yang sangat bernilai tidak hanya saat menghampiri tarikh 31 Ogos. Keprihatinan dan sikap sayangkan negara perlu diterapkan.

“Biarpun sejak di bangku sekolah pendedahan seperti nyanyian lagu Negaraku bagi memulakan sesi persekolahan telah diterapkan tetapi apabila dewasa, ke mana hilangnya budaya seperti itu,” kata Faye bersungguh-sungguh.

Tambahnya lagi, Malaysia memiliki keistimewaan dengan penduduk yang pelbagai kaum menjadikan sentimen perpaduan warga sesuatu perkara yang tiada tolok banding.

Berkongsi pendapat yang sama, Aidil menilai kemerdekaan sebagai fasa permulaan bagi melakukan anjakan dalam perubahan ke arah yang lebih baik.

Perkara yang paling disyukuri oleh Aidil ialah Malaysia bebas daripada peperangan berbanding negara lain yang rakyatnya terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan disebabkan pergolakan politik.

Secara peribadi, lelaki itu menyifatkan peperangan hanya akan membawa kepada kehancuran sesebuah institusi negara selain memberi impak buruk terhadap imej, ekonomi dan keselamatan rakyat.

Menyambung cerita, Syaffiq yang pernah membintangi drama Asam Pedas Untuk Dia, menterjemahkan kemerdekaan sebagai simbol keamanan.

Seharusnya sebagai generasi masa kini khususnya golongan belia menanamkan semangat cintakan negara tidak hanya kepada peperangan bahkan rasa tanggungjawab.

“Biarpun hanya menahan diri daripada melakukan vandalisme, itu sudah cukup menunjukkan nilai hormat dan bertimbang rasa antara satu sama lain.

“Jika masing-masing menjalankan tanggungjawab, pasti perkara seperti itu tidak akan berlaku sementara pelbagai aktiviti berfaedah yang mendatangkan manfaat boleh dilakukan,” jelas lelaki berusia 29 tahun itu optimis.

Tentang keluarga

Beralih kepada kerjaya lakonan, Faye berasa dirinya perlu melakukan anjakan terhadap kerjaya seni sekali gus ‘memerdekakan’ dirinya daripada berada di zon selesa dalam berkarya.

Mencabar diri membintangi naskhah berat sempena sambutan kemerdekaan, Faye yakin pertaruhan itu membuka lembaran baharu dalam portfolionya bergelar anak seni.

Membawa watak Rohana dalam telemovie Teroka arahan Jamal Khan yang bersiaran pada 31 Ogos ini pukul 10 malam di TV3 menjadi cabaran baharu buatnya.

Berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat kampung era 1950-an yang kurang mendapat pendidikan kerana berdepan dengan kehadiran penjajah, Rohana sanggup menentang keluarganya demi melahirkan golongan tinggi pengetahuan serta mampu mengusir ‘penceroboh’ keluar dari negara.

“Saya melakukan beberapa rujukan terlebih dahulu agar dapat menjiwai watak dengan mudah kerana ia tidak hanya melibatkan gaya hidup, malah lontaran dialog juga memainkan peranan penting.

“Paling penting tunjuk ajar daripada pelakon senior banyak membantu dalam merealisasikan watak. Tidak bermaksud untuk meniru tetapi sekurang-kurangnya boleh dijadikan rujukan,” tutur Faye.

Mendapat tunjuk ajar daripada pelakon senior, perkara itu memudahkan Faye untuk lebih mendalami watak agar tidak dilihat terlalu kaku mahupun dibuat-buat.

“Saya menggunakan segala bahan rujukan tidak mengira dengan cara menonton filem lama, bahan bacaan dan merujuk kepada pelakon yang lebih berpengalaman dan masak dengan watak yang dibawa ini.

“Biarpun pernah membawa watak wanita moden, antagonis mahupun romantik tetapi naskhah baharu ini jauh berbeza kerana saya perlu bijak menterjemah karakter dengan baik dan diterima penonton,” tutur Faye.

Berbeza buat Aidil dan Shafiq, kedua-duanya berkongsi naskhah yang sama berjudul Sut Putih arahan Heykal Hanifah, telemovie tersebut lebih dekat dengan gaya hidup masa kini.

Kedua-duanya nyata masih baharu dalam bidang seni, namun saat diminta bercerita tentang erti kemerdekaan kedua-dua bagai anak kecil yang berebut untuk menjawab soalan.

Sesekali tawa dua pelakon lelaki itu berderai memecah suasana sunyi ketika sesi temu bual. Saling berpandangan, Aidil dan Syaffiq mempunyai erti kemerdekaan masing-masing.

Buat Aidil, anak jati Selangor itu menterjemahkan merdeka dalam bentuk pemikiran. Tidak perlu terlalu jumud dengan ideologi kemerdekaan, cukup sekadar bebas daripada kemelut permasalahan.

Baginya, merdeka itu bergantung kepada cara seseorang.

Bermain emosi

Kemerdekaan minda itu cukup dekat dengan wataknya sebagai Amar dalam drama Sut Putih yang akan bersiaran secara eksklusif di saluran TV9 pukul 8.30 malam.

Karakter ini agak berat kerana saya perlu banyak bermain emosi, bahasa tubuh dan reaksi wajah disebabkan masalah kemurungan. Memang agak tertekan tetapi syukur segalanya telah selesai dan kini tunggu masa tayangan.

“Pada saya, dengan arus kemodenan masa kini merdeka itu membawa 1001 makna dan ia tidak hanya khusus tentang peperangan mahupun jajahan. Tetapi keterbukaan kita dalam melakukan kebaikan dan perkara positif dalam hidup.

“Meskipun merdeka itu membawa maksud bebas tetapi kematangan fikiran dalam mempraktikkan apa yang kita percaya itu penting,” jelas Aidil serius.

Meskipun sukar untuk memahami huraian kemerdekaan dari sudut pandang Aidil, namun secara rumusannya, erti merdeka bergantung kepada sikap dan individu dalam menjalani kehidupan hariannya dengan bijak menangani tekanan, amarah, dan mengawal nafsu secara bijak.

Syaffiq pula menghuraikan erti kemerdekaan yang berlegar dalam fikirannya dari sudut pandang yang berbeza. Dilihat beberapa kali termenung, jejaka berkulit sawo matang itu kemudian bersuara.

“Kehidupan ini cuma persinggahan sementara, tidak perlu terlalu ingin terburu-buru mengikut gelora nafsu. Saya fikir, akal merupakan perkara penting bagi seseorang individu dalam membentuk kebebasan.

“Cara pemikiran, perwatakan, sikap, tutur kata itu sendiri mencerminkan kehidupan mereka. Ia agak subjektif tetapi secara peribadi, saya menyifatkan merdeka tidak terperuk dengan stigma peperangan sahaja sebaliknya lebih universal,” kata Syaffiq sambil membetulkan posisi duduknya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here