Sukan Para

Sukan Para ASEAN akan bermula pada 17 September ini dan sudah tentu kita sebagai rakyat Malaysia yang masih segar dengan kemenangan di Sukan SEA ke-29 wajar meneruskan sokongan padu kita kepada semua atlet para negara yang bertanding pada kali ini. Semangat yang dibawa semasa Sukan SEA yang lalu wajar dikekalkan dan kini giliran atlet para pula merasai kesungguhan yang dibawakan khas oleh seluruh rakyat Malaysia ke setiap venue acara yang dipertandingkan.

Sebenarnya begitu banyak hal posiif boleh kita tampil dan cari sepanjang temasya Para ASEAN ini berlangsung. Ini kerana semangat juang atlet dalam setiap acara amat tinggi dan sukar untuk dipadamkan. Di sebalik kekurangan yang ada pada diri mereka, setiap daripada atlet ini tampil sebagai individu berbeza untuk mengukuhkan keadaan diri dan tampil sebagai juara serta mengharumkan nama negara.

Malaysia ini milik kita semua dan kita semua bertanggungjawab untuk mengharumkan nama negara yang kita cintai ini. Di setiap wajah atlet para yang bertanding sudah tentu terselit kisah-kisah liku perjuangan mereka dan salah seorang atlet para yang amat menarik perhatian pada edisi Sukan Para ASEAN kali ini ialah Shukor Farhan Suliman.

Atlet berusia 21 tahun ini boleh dianggap sebagai wira dan memiliki semangat kental yang sebenarnya bukan ada pada setiap diri manusia. Beliau yang kudung kaki kanannya selepas terpaksa dipotong akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira 6 tahun lepas akan mewakili negara dalam acara berbasikal dan lebih unik dan mencabar, beliau hanya memerlukan sebelah kaki untuk mengayuh basikal berkenaan. Begitu kuat semangat dan perjuangan Shukor untuk mengharumkan nama negara.

Beliau yang tidak mahu dibuai dengan sikap negatif akibat tragedi yang menimpa telah mengambil peluang membuktikan keupayaan dirinya melalui cara lain dan sudah tentu penglibatan beliau sebagai atlet para berjaya membuatkan dirinya lebih dihargai di samping mampu memberikan sumbangan positif terhadap kemajuan sukan negara. Walaupun ini merupakan Sukan Para ASEAN yang pertama buat Shukor kerana ini merupakan kali pertama acara berbasikal trek dipertandingkan di peringkat Sukan Para ASEAN dan beliau telah diletakkan sebagai atlet yang dijangka menyumbangkan dua pingat emas buat negara.

Pencapaian beliau di peringkat dunia juga sangat memberangsangkan apabila berjaya menduduki tempat keempat dalam acara scratch ketika kejohanan dunia di Belanda pada tahun 2015 selain menempatkan diri di tempat kelima di Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada tahun 2014 di samping tempat ketujuh dalam acara kejar-mengejar 3,000 meter.

Melalui Shukor sebenarnya kita mampu belajar banyak perkara. Rasa tanggungjawab dan sayangkan negara itu sebenarnya menjadi pemangkin kepada seseorang untuk bangkit semula dalam hidup dan menggerakkan diri ke arah lebih positif. Semangat seperti Shukor ini yang sewajarnya ada dalam diri setiap rakyat Malaysia. Sentiasa meletakkan kepentingan negara di hadapan di samping mahu menjadi warga yang mampu membuatkan negara sentiasa berbangga dengan dirinya sendiri.

Dengan mengayuh menggunakan sebelah kaki, Shukor ialah atlet kita yang istimewa dan semangatnya untuk berjuang demi negara perlu dijadikan contoh terbaik untuk setiap warga Malaysia yang sayangkan tanah air ini. Ayuh Shukor!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here