sekolah swasta

TRAGEDI yang menimpa 23 orang pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah di Kampung Datuk Keramat lebih seminggu yang lalu membuka mata banyak pihak mengenai pentingnya pembelaan diberikan kepada institusi-institusi pendidikan agama seumpamanya di seluruh negara.

Ketika rata-rata masyarakat masih lagi bercakap mengenai keperluan menyeragam dan meningkatkan standard keselamatan di pusat-pusat pengajian persendirian seperti ini, insiden menyayat hati itu turut membuka mata banyak pihak mengenai peningkatan bilangan pusat pengajian tahfiz dan sekolah agama swasta di Malaysia.

Peningkatan yang mendadak ini bukan sahaja dilihat berlaku kepada institusi pendidikan agama, bahkan ia dilihat turut berlaku kepada sekolah-sekolah swasta yang lain termasuklah sekolah-sekolah antarabangsa. Jika dilihat kepada latar belakang pelajar di kebanyakan sekolah-sekolah swasta ini, kita akan mendapati bahawa bukan semuanya datang daripada keluarga yang dikategorikan sebagai berpendapatan tinggi.

Ianya sekaligus menunjukkan satu situasi baru dalam spektrum pendidikan tanah air; peningkatan kecenderungan dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah swasta berbanding sekolah awam ataupun sekolah kebangsaan. Perkembangan yang turut menarik untuk kita perhatikan ialah bagaimana guru-guru di sekolah kebangsaan juga memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah swasta. Ironinya, bilangan guru di sekolah-sekolah kebangsaan yang membuat keputusan seperti ini bukanlah sedikit.

Situasi ini secara langsung membangkitkan beberapa persoalan yang sangat berkait rapat. Apakah faktor yang menyumbang terhadap kecenderungan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta? Adakah keyakinan mereka terhadap keupayaan sistem pendidikan di negara ini sudah terhakis? Dan apakah pula kelebihan sekolah swasta berbanding sekolah kebangsaan?

Permintaan Tinggi Terhadap Pendidikan Agama

Peningkatan bilangan pusat pengajian agama persendirian yang diumpamakan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan perlu dilihat daripada pelbagai sudut. Logiknya, kewujudan sekolah-sekolah agama swasta ini terutamanya di kawasan-kawasan bandar tidak akan berlaku dengan banyak dan pantas sekiranya tiada permintaan daripada ibu bapa.

Kebanyakan waris yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama swasta pasti berkongsi setidak-tidaknya satu alasan dan justifikasi yang sama iaitu ingin memastikan anak-anak mereka turut diberikan kualiti pendidikan terbaik yang menitikberatkan suasana pengajaran berkonsepkan Islamik.

Pilihan untuk ibu bapa dalam menghantar anak-anak mereka ke sekolah awam aliran agama di negara ini sebenarnya tidak banyak. Jika bernasib baik, anak-anak ini akan terpilih memasuki sekolah berasrama penuh agama bantuan kerajaan ataupun sekolah-sekolah agama yang dibiayai kerajaan negeri. Pilihan yang terhad ini akhirnya menjadikan sekolah-sekolah agama rakyat ataupun ‘pondok’ sebagai alternatif terbaik buat ibu bapa menghantar anak-anak mereka biarpun sebahagian daripada sekolah-sekolah ini mempunyai kemudahan yang terhad dan guru-gurunya pula mungkin kurang terlatih.

Pilihan yang serupa dengan keadaan yang sedikit berbeza kita lihat berlaku di kawasan-kawasan bandar dengan kewujudan sekolah-sekolah agama swasta yang lebih moden. Menariknya, kebanyakan sekolah-sekolah ini menggunakan silibus pelajaran dari luar negara. Dalam hal ini, para waris dilihat tidak begitu kisah dengan yuran pendidikan yang sedikit tinggi kerana ianya dilihat satu pelaburan yang munasabah dan berbaloi demi pembentukan jati diri anak-anak mereka.

Hakikatnya, zaman para ibu bapa membesar dahulu ternyata sangat berbeza dengan zaman yang dilalui oleh anak-anak mereka pada hari ini. Dunia yang lebih terbuka kini sememangnya membawa cabaran yang sangat besar dalam pembentukan akhlak dan pematuhan prinsip-prinsip agama dalam kehidupan anak-anak. Pelbagai kebejatan moral yang timbul dalam masyarakat pada hari ini membuktikan bahawa didikan asas sahaja tidak mencukupi jika tidak diadunkan dengan penghayatan agama dan proses adaptasi dalam kehidupan seharian para pelajar.

Kurikulum Yang ‘Terlampau Tinggi’

Antara perkara yang menjadi perhatian ibu bapa di sekolah adalah bagaimana proses pembelajaran dan pengajaran mampu mencorakkan minat dan mencungkil kecenderungan sebenar anak-anak.

Menyoroti proses pembelajaran yang dilalui tidak kurang sedekad yang lalu, kebanyakan ibu bapa mungkin boleh bersetuju bahawa pendidikan rendah pada masa itu hanya berkisarkan mengenai kemahiran-kemahiran matematik asas seperti menulis dan mengira angka melalui proses yang mampu difahami oleh semua murid.

Hari ini, situasinya berubah sama sekali. Murid yang masih baharu di peringkat pendidikan rendah sudah diajar dengan pelbagai konsep matematik yang kompleks. Subjek Bahasa Melayu pula misalnya memperlihatkan bagaimana pelajar-pelajar ini sudah diuji dengan pelbagai perumpamaan dan peribahasa yang tidak mampu disesuaikan dengan situasi dan gambaran yang diberi. Malah, soalan seumpama itu juga belum tentu mampu dijawab dengan baik oleh seorang dewasa yang lain.

Pada usia yang belum pun 10 tahun, pelajar nampaknya sudah didedahkan dengan pelbagai konsep pembelajaran yang tidak setara dengan kemampuan berfikir kebanyakan daripada mereka. Penting untuk kita faham bukan semua pelajar mempunyai tahap IQ dan kemampuan akademik yang setanding. Penekanan yang melampau terhadap pendidikan yang berorentasikan peperiksaan seperti ini sebenarnya sedikit sebanyak mematikan terus minat dan potensi sebahagian daripada mereka.

Hal ini dilihat sangat berkait rapat dengan sistem dan dasar pendidikan di Malaysia yang tidak tetap dan berubah-ubah. Ianya seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan di mana dasar dan sistem pendidikan pasti akan bertukar apabila seseorang menteri pendidikan yang baharu dilantik. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah para guru dan pelajar di sekolah. Mereka seolah-olah menjadi bahan eksperimen dan ujikaji sistem yang ingin ‘diteroka’. Kita telah sedia maklum bagaimana konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang ada pada hari ini betul-betul memberi ‘kejutan’ terhadap pencapaian akademik murid-murid di sekolah rendah.

Pendidikan yang ditawarkan di sekolah-sekolah swasta walau bagaimanapun berbeza. Walaupun kecemerlangan akademik adalah sesuatu yang ingin digapai, namun ianya tidak sama sekali dilakukan melalui kaedah menambah pelbagai konsep dan kuantiti pelajaran yang mengelirukan pelajar. Sebaliknya, sekolah-sekolah swasta ini berani melakukan transformasi pendidikan dengan melihat kepada sisi lain dalam meraikan potensi dalaman pelajar melalui bakat dan kecenderungan yang ditunjukkan mereka. Dalam hal ini, ia sememangnya satu kelebihan buat sekolah-sekolah swasta kerana mereka mempunyai autonomi untuk mencorakkan hala tuju proses pembelajaran di institusi masing-masing.

Kualiti Pendidikan Terkebelakang?

Di Malaysia, pemilihan sekolah-sekolah swasta juga sebenarnya agak popular dalam kalangan masyarakat Cina walaupun kerajaan tetap menawarkan pendidikan melalui kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK). Usah hairan jika dikatakan ada sebahagian pelajar-pelajar Cina yang sangat kecewa jika tidak diterima masuk ke sekolah-sekolah swasta yang diingini biarpun mereka sudahpun mempunyai SJK yang menawarkan kualiti pendidikan yang dilihat lebih baik berbanding sekolah kebangsaan yang lain.

Situasi ini sedikit sebanyak membuktikan jenis sekolah bukanlah satu isu penting bagi mereka. Sebaliknya kualiti pendidikan yang diterima menjadi pertimbangan paling penting bagi ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta.

Kita pastinya bersetuju bahawa di sana terdapat perbezaan antara pelajar yang bersekolah di sekolah kebangsaan dengan pelajar yang mendapat pendidikan di sekolah swasta. Antara perbezaan yang dilihat ketara adalah bagaimana pelajar di sekolah swasta mempunyai keterampilan diri yang jauh lebih baik dalam usaha mereka menonjolkan diri di khalayak. Dalam erti kata lain, keyakinan diri yang ada pada mereka sememangnya terserlah berbanding pelajar yang belajar di sekolah kebangsaan.

Komunikasi Hubungan Tiga Serangkai

Hubungan guru-pelajar dan guru-ibu bapa di sekolah-sekolah swasta juga dilihat lebih jauh terkehadapan berbanding hubungan serupa yang kita lihat wujud di sekolah-sekolah kebangsaan. Samada sedar atau tidak, tahap kekuatan hubungan antara ketiga-tiga pihak ini sebenarnya boleh menjadi ssatu faktor penentu dalam pembentukan sikap dan sifat pelajar.

Melihat kepada konteks hubungan yang wujud di sekolah-sekolah swasta, tidak keterlaluan jika dikatakan hubungan guru-pelajar di institusi-institusi seperti ini mirip kepada hubungan yang wujud dalam sebuah keluarga di mana selain menjadi tempat rujukan dalam masalah pembelajaran, guru juga kerap bertindak sebagai penasihat kepada para pelajar dalam pelbagai perkara lain dalam kehidupan mereka.

Hubungan guru-ibu bapa di sekolah-sekolah seumpama ini juga dilihat lebih dekat dan mesra. Kontak yang dilihat mengikat komitmen ibu bapa ini membuatkan mereka sentiasa peka dan prihatin dengan perkembangan pembelajaran anak-anak di sekolah selain turut memastikan proses itu terus berjalan di rumah. Kaedah pembelajaran yang diguna pakai di sekolah umpamanya harus dipersetujui oleh ibu bapa untuk ianya juga diguna pakai di rumah.

Malah, sesetengah sekolah swasta ini turut mengelolakan program untuk para waris demi memastikan proses pembelajaran anak-anak tidak hanya terhenti di sekolah. Program yang adakalanya turut melibatkan penilaian ke atas ibu bapa dalam komitmen mereka untuk terus mendidik anak-anak di rumah sememangnya memberikan nilai tambah kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Hubungan dan komunikasi berkesan seperti ini terbukti menjadi penyumbang penting dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu bahkan turut memiliki sifat-sifat yang terpuji dan mulia.

Hubungan sekuat ini sukar untuk kita lihat dengan jelas dan lebih luas di sekolah-sekolah kebangsaan. Tindakan saman-menyaman antara pihak waris dan guru di sekolah bukan lagi satu perkara yang janggal pada hari ini. Lebih menyedihkan, insiden menyerang pihak sekolah dan membelasah guru turut berlaku di sesetengah tempat, mencerminkan betapa rapuhnya pendidikan di rumah sehingga terbawa-bawa ke sekolah. Walaupun insiden-insiden sebegini mungkin terpencil, namun kita wajar mempersoalkan adakah jurang hubungan sebegini mampu melahirkan pelajar yang berkualiti ilmu dan peribadinya?

Reformasikan Sekolah Awam/Kebangsaan

Melihat kepada trend semasa, kerajaan wajar mempertimbangkan keperluan untuk menambah baik sistem dan suasana pembelajaran di sekolah. Hal ini boleh direalisasikan dengan mengkaji semula objektif pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sekolah seharusnya menjadi tempat untuk negara melahirkan pelajar yang mempunyai karakter yang positif dan berkualiti biarpun kecemerlangan akademik adalah satu sisi yang tidak boleh dikesampingkan.

Minat ibu bapa untuk kembali menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan untuk anak-anak mereka belajar bergantung kepada beberapa perkara. Ini termasuklah sejauh mana sistem pendidikan negara menitikberatkan pembentukan sahsiah yang murni dalam diri para pelajar selain mengiktiraf potensi dalaman dan bakat tersendiri yang dimiliki mereka. Penekanan tunggal ke atas kecemerlangan akademik tiada gunanya jika tidak disemai dan diadunkan dengan kecemerlangan jati diri.

Hubungan guru-pelajar-ibu bapa di sekolah-sekolah kebangsaan juga perlu dipertingkatkan. Tidak ada institusi pendidikan yang sempurna serba serbi dan bukanlah perkara itu yang menjadi tuntutan ibu bapa. Namun setidak-tidaknya melalui hubungan dan komunikasi efektif antara pihak sekolah dengan para waris, kekurangan yang ada boleh ditampung melalui peranan yang dimainkan dengan lebih bertanggungjawab oleh kedua-dua pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here