Seorang aktivis yang menyokong kempen Undi Rosak supaya orang ramai merosakkan undi mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berkata gerakan itu semakin mendapat tempat di kalangan orang muda.

Maryam Lee memberitahu sebuah forum membincangkan #UndiRosak, hashtag yang digunakan penyokong kempen itu di media sosial, ia kerana ramai tidak berpuas hati dengan tawaran yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), gabungan pembangkan yang mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Menurutnya, orang muda sudah “letih” dengan permainan politik kedua-dua pihak, dan berkata ia semakin terserlah di kawasan bandar.

“Kempen #UndiRosak ini semakin ramai diterima terutama di kawasan bandar dan yang paling banyak menyokong adalah di Kuala Lumpur,” katanya di forum “Undi Rosak: Kau Nak Apa Sebenarnya?” malam tadi.

Kempen #UndiRosak menjadi subjek perdebatan hangat di media sosial baru-baru ini, dan dikritik oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir, yang menuduh pemimpin Umno di sebalik kempen itu.

Minggu ini, hashtag #UndiRosak berada di kedudukan topik 10 teratas yang paling rancak dibincangkan di Twitter di kalangan pengguna Malaysia.

Ia muncul selepas PH pada 7 Januari lalu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Ini diakui Maryam, yang berkata ia petanda PH boleh memerintah dengan lebih buruk daripada BN. “Pembangkang mahupun BN sama macam budak-budak,” katanya.

Screen Shot 2018-01-26 at 10.34.04

“Kenapa perlu undi kami? Siapa bekerja untuk siapa? Saya bukan benci politik tetapi benci dengan pimpinan politik yang tidak faham suara anak muda,” katanya.

Pandangan itu tidak disetujui seorang pemimpin muda DAP dari Selangor.

Sebaliknya, Edry Faizal mencadangkan kempen #UndiBaikBaik, kerana merosakkan undi membuka jalan kepada parti yang menang untuk berkuasa tanpa membuat pilihan.

“Realiti di Malaysia, bahawa apa pun di buat masa pilihan raya, suka atau tidak akan tubuh satu kerajaan.

“Kerajaan ini akan gubal undang-undang dasar, perbelanjaan negara dan pada pilihan raya nanti kita akan terkesan dengan keputusan kerajaan yang ditubuh.

“Kena undi. Undi baik-baik pertimbang siapa lagi baik,” katanya.

Pemimpin Pemuda PPBM, Ashraf Mustaqim pula berkata mereka yang tidak senang dengan Dr Mahathir tidak seharusnya merosakkan undi, tetapi tidak perlu mengundi di kawasan pengerusi PH itu bertanding nanti.

“Misalnya di Langkawi, tak perlu undi,” katanya, menamakan salah satu daripada 3 tempat yang sedang dipertimbangkan Dr Mahathir.

“Tetapi jangan kita boikot PH sebab calon-calon PH lain tidak salah. Kita perlu melakukan sesuatu untuk membuat perubahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here