Pelakon cantik yang berdarah kacukan ini, Juliana Evans, mengakui bahawa beliau lebih selesa berstatus solo. Artis popular ini, kembali bersinar di dalam industri selain menjadi duta beberapa jenama.

Biarpun membiarkan belahan hatinya tidak berpenghuni, pelakon berusia 26 tahun terjebak khabar angin konon-kononnya sedang dilamun asmara dengan pemain bola. Dia didakwa berapa kali muncul menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan melibatkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium.

Membiarkan perkara tersebut sebagai tanda tanya, Juliana atau Jue hanya tersenyum saat disuakan soalan berhubung isu berkenaan.

Sesekali melepaskan ketawa kecil, pelakon filem Hantu Boceng itu turut rancak bercerita tentang perancangannya dalam industri lakonan serta pengalaman membintangi telemovie Oh My English!: Oh My Goat! Come Back yang akan ditayangkan di saluran Astro TVIQ bermula 5 September nanti.

Antara topik temubual bersama pelakon cantik ini:

Setelah beberapa kali putus cinta, wujud dakwaan mengatakan Jue kini sedang menjalin hubungan dengan pemain JDT berikutan kerap dilihat muncul menyaksikan perlawanan mereka. Sejauh manakah kebenaran cerita tersebut?

Juliana: Saya memang ada menyaksikan perlawanan JDT di stadium, tetapi hanya sebanyak dua kali. Itu pun disebabkan ingin memberi sokongan kepada kawan baik saya, Zandra Aziela yang merupakan isteri kepada pemain Shafiq Rahim.

Selain menjadi penyokong pasukan JDT, tidakkah anda secara peribadi mengenali pemain skuad Harimau Selatan itu?

Saya memang ada berkawan dengan beberapa pemain seperti Nazrin Nawi dan Izham Tarmizi, namun hubungan itu cukup sekadar kenalan biasa. Saya menyaksikan perlawanan tersebut kerana secara kebetulan ingin ke Singapura. Tambahan, ini menjadi satu pengalaman baharu kerana sebelum ini saya tidak pernah menyaksikan perlawanan bola sepak di dalam stadium.

Secara peribadinya, adakah anda telah bersedia untuk menamatkan zaman bujang dengan pemain bola sepak?

Akan dipertimbangkan (ketawa). Selepas pulang dari Amerika Syarikat (AS) ada banyak perkara yang perlu diuruskan terutama membantu keluarga dengan menyediakan kediaman baharu buat mereka. Tambahan berdasarkan pengalaman dahulu, banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan. Tidak perlu terburu-buru, segalanya diserahkan kepada takdir. Namun seperti yang dikatakan, hubungan kami hanya kawan.

Beralih soal kerjaya, bagaimanakah perkembangan karier seni sebaik pulang dari AS?

Segalanya seperti dipermudahkan. Saya menerima beberapa tawaran berlakon dan duta produk. Paling mengejutkan, saya ditawarkan menjadi penolong pengarah kepada Fauzi Nawawi untuk sebuah filem. Meskipun berlaku beberapa kali perubahan perancangan untuk pulang ke Malaysia, syukur rezeki yang diterima kini tidak putus. Saya juga seronok dapat muncul dalam telefilem Oh My English!: Oh My Goat!, Come Back tidak lama lagi.

Bolehkah kongsikan sedikit pengalaman membintangi telefilem tersebut?

Saya menjalani sesi penggambaran di dalam hutan bersama pelakon yang berbakat seperti Zain Saidin, Nadiya Nisaa, Abam Bocey dan Sherry Alhadad. Awalnya agak gementar tetapi lama-kelamaan segalanya berjalan lancar. Pengalaman jatuh dalam lumpur dan mandi sungai antara babak yang sukar dilupakan.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here