TINDAKAN kerajaan negeri Selangor tidak membenarkan Stadium Shah Alam digunakan sebagai “home ground” (gelanggang sendiri) untuk pasukan Selangor bagi saingan Liga Super musim ini adalah tidak wajar.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata penafian hak beraksi pasukan “The Red Giants” di stadium keramat itu tidak kena kerana gelanggang itu merupakan ‘home ground’ pasukan Selangor untuk sekian lama.

“Saya tidak pasti apa sebab kerajaan Selangor tidak bagi sama ada sebab politik atau bukan tetapi pada saya, tindakan itu tidak kena,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Briged Gerak Gempur 2314 Pemuda Barisan Nasional (BN)  Perlis di Arau, hari ini.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dapat mencari penyelesaian segera berhubung isu penggunaan Stadium Shah Alam.

Susulan konflik tersebut, pasukan Selangor kini terpaksa menumpang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur selepas kerajaan negeri tidak membenarkan mereka menggunakan Stadium Shah Alam buat dua musim berturut-turut.

Bagaimanapun, difahamkan kini sudah ada perbincangan antara kerajaan negeri dan FAS dalam menjernihkan semula hubungan tegang antara kedua-dua pihak.

Selangor akan membuka kempen Liga Super dengan menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here