Perkasa menggesa kerajaan mewujudkan akta khas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani kes rasuah dan salahguna kuasa melibatkan harta kerajaan yang dilakukan secara “terancang dan licik”. Akta bagi menjaga dan selamatkan harta kerajaan adalah sangat penting dan perlu dilaksanakan seberapa segera.

Presiden Datuk Ibrahim Ali percaya kaedah seperti ISA, yang membolehkan pihak berkuasa menahan dan menyiasat suspek untuk tempoh tertentu tanpa perintah mahkamah, akan membantu mempercepatkan siasatan dan lebih berkesan terhadap golongan yang “merancang menyamun mengikut saluran dan peraturan kononnya”.

“Inilah yang dikata penyamun cerdik pandai yang mengalahguna ilmu yang diperoleh untuk melakukan ‘jenayah moral’ terhadap kepentingan rakyat dan negara,” kata Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

“Jika dilihat dari segi undang-undang nampak seolah-olah ianya halal namun nilai yang begitu besar jadi seperti ‘5 sen’.”

Beliau khuatir cara sekarang, iaitu melalui proses tahanan reman dan ikat jamin, selain penubuhan jawatankuasa siasatan, membuka peluang kepada pelaku mengganggu tindakan terhadapnya.

“Apa yang akan berlaku mungkin bukti boleh dimusnahkan, saksi pula kemungkinan dibeli atau disogok. Manakala tempoh prosesnya cukup panjang,” kata Ibrahim.

“Tidak mustahil, selepas siasatan dan kumpul bukti bertahun, yang disyaki mati dulu sebelum didakwa.”

Perkasa turut menggesa kerajaan memperkenalkan hukuman lebih keras terhadap pelaku yang didapati bersalah, kerana undang-undang sedia ada tidak mampu membasmi rasuah dan salahguasa kuasa “berskala besar”.

“Jika didapati bersalah, hukuman pula cuma 2-3 tahun penjara sahaja. Tidak berbaloi dan munasabah. Ada yang berkata apa salah masuk penjara 5-10 tahun, bila keluar ada ratusan juta,” kata Ibrahim.

“Maka, hukuman rasuah dan salahguna kuasa mesti ada hukuman mandatori rotan, semua harta dirampas dan minimum penjara 10 tahun.”

Ibrahim Ali menggesa kerajaan mengambil iktibar daripada kes transaksi tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang dilaporkan berlaku tanpa Felda menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad “terpegun” pindah milik tanah institusi kerajaan boleh dilakukan begitu mudah. Beliau mula menyedari perkara itu pada akhir Januari.

Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes kehilangan hak Felda ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas perbuatan penipuan serta pemalsuan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here