KOTA BAHARU, 30 Ogos – Perhimpunan haram hingga menggugat ketenteraman awam secara umumnya boleh menjejaskan sektor pelaburan dan pelancongan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kestabilan politik merupakan teras utama untuk menarik pelabur serta pelancong, dan imej Malaysia di mata dunia akan tercalar jika negara berada dalam keadaan huru-hara. “Kita (Malaysia) mempunyai imej yang baik di mata dunia setakat ini dan apa yang berlaku sehari dua ini mungkin akan menjejaskan imej negara.

“Kalau mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang tak menarik, rakyatnya kelam kabut, huru-hara, maka Malaysia tak akan mampu menarik pelancong…pelabur begitu juga,” katanya merujuk kepada perhimpunan Bersih 4 yang bertitik tumpu di Kuala Lumpur. Mustapa ditemui pemberita pada sesi pendaftaran pelajar baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota Baharu di Pengkalan Chepa di sini hari ini. Turut hadir Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Sebanyak 2,393 pelajar baharu mula mendaftarkan diri hari ini, bagi mengikuti pelbagai kursus berteraskan keusahawanan yang ditawarkan universiti itu. Mengulas lanjut, Mustapa berkata pelabur domestik juga akan bersikap berhati-hati untuk membuka sektor ekonomi baharu dalam pelbagai bidang di negara ini jika keamanan gagal dipertahan.

“Orang Malaysia sendiri kalau dilihat negara lain lebih baik iklim pelaburannya, mereka tak akan melabur dalam negara. Jadi itulah pentingnya kita kekalkan keamanan kerana kemakmuran itu asas utamanya ialah kestabilan politik, perpaduan dan keamanan,” tegas beliau. Mengenai kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamed di perhimpunan Bersih 4, Mustapa berkata ia tindakan tidak wajar kerana bekas perdana menteri itu merupakan seorang yang menentang demonstrasi jalanan sebelum ini.

Menurut Mustapa, setiap masalah yang timbul perlu diselesaikan secara baik tanpa perlu mengadakan demonstrasi jalanan. Perhimpunan Bersih 4 selama dua hari yang diisytiharkan haram oleh polis, dianjurkan oleh kumpulan Bersih 2.0 yang mendakwa memperjuangkan antara lain pilihan raya yang bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang bersih.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here