SINGAPURA, 2 Sept – Dengan nilai ringgit mencecah paras terendah berbanding mata wang utama lain terutamanya dolar Singapura, sekarang merupakan masa terbaik untuk melabur dalam hartanah Malaysia, kata Vinod Nair, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MoneySmart.sg.

“Dalam keadaan pasaran hartanah Singapura yang dikawal selia kukuh yang mana harganya masih belum turun ke paras lebih rendah, manakala nilai ringgit pula jauh lebih murah, ia merupakan satu peluang baik bagi rakyat Singapura dan penduduk Singapura yang mempunyai dana terhad.

“(Ini kerana mereka) kini boleh membeli hartanah mewah di bandar raya utama Malaysia seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Pulau Pinang,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Vinod berkata kategori hartanah utama yang harus dipertimbangkan sudah pastinya pembangunan kondominium mewah di kawasan daerah perniagaan pusat dan hartanah bertanah di kawasan elit seperti Bangsar dan Damansara Heights sebagai contohnya.

Beliau berkata demikian semasa diminta memberi pandangan mengenai kesan penurunan nilai ringgit berbanding mata wang utama, terutamanya dolar Singapura.

Mengenai hartanah di Iskandar Malaysia yang pelabur Singapura mempunyai pelaburan besar di sana, Vinod berkata: “Saya jangka pemaju induk dan pemaju swasta Iskandar akan mengambil langkah seterusnya untuk menarik pembeli luar negara dengan undang-undang cukai yang lebih mesra.”

Beliau berkata pelaburan langsung asing merupakan instrumen sangat berkesan bagi Malaysia untuk melindung nilai terhadap ringgit.

“Jika kos membeli hartanah Malaysia mencecah paras paling rendah, pembetulan mata wang yang kelaknya akan berlaku, mungkin memperlahankan jualan hartanah.

“Iskandar Malaysia ada banyak unit pemaju yang masih belum terjual dan sekarang merupakan masa terbaik untuk melepaskan inventori.

“Pada dasarnya bagi Iskandar dan seluruh Malaysia, sekarang masa terbaik untuk mengkaji semula cukai keuntungan modal – mungkin pengurangan atau penangguhan sementara idea terbaik untuk menarik pembeli,” katanya.

Susulan penurunan nilai ringgit, sesetengah pelabur merasa bimbang dengan pelaburan mereka di Iskandar Malaysia.

Namun begitu, Vinod berpendapat Malaysia masih satu pelaburan menarik bagi pembeli hartanah.

“Bagi mereka yang telah melabur, nasihat terbaik adalah menunggu sehingga tempoh sukar ini berakhir. Saya tidak bayangkan kerajaan Malaysia akan melaksanakan langkah-langkah modal seperti suntikan tunai atau menambat ringgit, jadi ini benar-benar adalah satu latihan kesabaran bagi pelabur sedia ada.”

Mengenai sama ada demonstrasi Bersih di Kuala Lumpur akan menakutkan pelabur, Vinod berkata: “Demonstrasi Bersih pada hujung minggu lalu merupakan bantahan tanpa keganasan terhadap dasar-dasar kerajaan persekutuan.

“Saya percaya satu-satunya kesan segera hanyalah kepada pelancongan dan kedatangan pelancong. Dalam tempoh jangka panjang ia adalah demonstrasi rakyat untuk menambah baik ketelusan dan mengurangkan rasuah,” katanya.

MoneySmart.sg ialah portal kewangan peribadi nombor satu Singapura yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan peribadi – kad kredit, insurans, pinjaman peribadi dan rumah.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here