TEKA-TEKI rakyat mengenai tujuan sebenar YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengadakan sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang semalam akhirnya terjawab apabila Najib mengumumkan kemasukan kembali bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Bin Muhammad Taib ke dalam parti itu.

Muhammad yang lebih dikenali sebagai Mat Taib sebelum ini keluar UMNO untuk menyertai PAS pada April 2013 sebelum memutuskan untuk menyertai PKR dua tahun berikutnya. Mengulas mengenai ‘kepulangannya’ itu, Mat Taib yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor selama 12 tahun bermula pada 1986 hingga 1997 berkata ianya dibuat setelah merasakan perjuangannya dalam gabungan pembangkang khususnya PKR sia-sia.

Kelebihan Yang Mungkin Tersisa

Sidang media khas yang dibuat di PWTC semalam mengundang tanda tanya yang bukan kecil dalam kalangan rakyat berikutan kehadiran pemimpin tertinggi UMNO dari seluruh negara. Malah, program Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Perlis telah dipendekkan bagi menghadiri sesi tersebut. Ramai beranggapan ianya adalah berkaitan kesediaan Najib untuk membubarkan parlimen, namun telahan itu tidak cukup kuat dan dinafikan sendiri oleh Zahid.

Melihat kepada siri keretakan dalam gabungan pembangkang mutakhir ini khususnya yang melibatkan pertelingkahan dalaman PKR dan kecelaruan PPBM, kepulangan semula Mat Taib ke pangkuan UMNO sememangnya satu pelonjak semangat kepada parti tersebut terutamanya dalam usaha mereka untuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang pimpinan PKR.

Menghabiskan masa kira-kira selama empat (4) tahun bersama pembangkang, Mat Taib dikatakan sangat arif mengenai politik gabungan tersebut berikutan pengalamannya yang pernah duduk bersama-sama dengan pimpinan tertinggi PKR dan juga komponen pembangkang yang lain termasuklah PAS. Keadaan itu membolehkan Mat Taib menggunakan pengetahuan dan pengalamannya sebagai satu kelebihan buat BN bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) kelak.

Reaksi Umum

Kemasukan semula Mat Taib ke dalam UMNO walau bagaimanapun tidak dilihat sebagai terlalu signifikan oleh sebahagian pihak. Reaksi umum yang boleh dilihat di pelbagai platform media sosial menunjukkan bukan sedikit yang mempersoalkan kewajaran Najib mengadakan sidang media khas tersebut hanya untuk mengumumkan kemasukan semula Mat Taib ke dalam UMNO.

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) sendiri umpamanya menjadikan pengumuman oleh Najib semalam sebagai satu bahan ketawa walaupun pada awalnya mereka dilihat begitu resah mengenai pengumuman khas tersebut. Mat Taib dilihat sebagai seorang ahli politik yang telah pun melepasi zamannya. Malah, perjalanan politik beliau sejak keluar dari UMNO terlihat begitu senyap dan peranannya dalam gabungan pembangkang sebelum ini juga hampir tidak kelihatan.

Ramai yang berpendapat Najib tidaklah perlu menghabiskan masanya untuk membuat pengumuman semalam. Apatah lagi Mat Taib merupakan ‘orang lama’ yang kerjanya sejak keluar UMNO hanyalah melompat parti. Sejauh mana pengaruhnya dalam politik tanah air buat masa sekarang masih sukar untuk dinilai. Justeru, pengumuman khas mengenai kepulangan Mat Taib semalam dilihat tidak perlu pun dibuat oleh Najib ketika mana populariti perdana menteri sedang meningkat naik berikutan beberapa kejayaan besar yang dicapai akhir-akhir ini khususnya dalam lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Kemenangan Moral Buat UMNO

Apa pun, kembalinya Mat Taib ke pangkuan UMNO membuktikan perjuangan PH yang bercelaru. Penyertaannya ke dalam PAS dan PKR sebelum ini disebut beliau bagi memperjuangkan agenda Melayu dan Islam. Melihat kepada apa yang dinyatakan beliau semalam, nyatalah PKR tidak pun meletakkan agenda Melayu sebagai keutamaan. Malah Mat Taib juga meluahkan kebimbangannya mengenai perpecahan Melayu di Selangor.

Pengumuman semalam wajar juga dilihat sebagai satu lagi tamparan yang menambah episod duka kepada PH khususnya PPBM. Minggu ini sahaja menyaksikan dua (2) orang pengasas bersama parti itu, Anina Saadudin dan Datuk Hamidah Osman mengumumkan keluar parti.

Ketika Anina menyatakan kekecewaannya dengan tindakan kejam pimpinan PPBM yang memecatnya daripada jawatan Ketua Wanita PPBM, Hamidah pula berbuat demikian setelah terkesan dengan kenyataan adiknya yang meminta penyokong pembangkang untuk tidak membiarkan orang Cina memijak orang Melayu dalam usaha untuk menjatuhkan Najib.

Kerisauan Mat Taib mengenai agenda Melayu yang terancam di bawah PH dilihat berasas. Ianya satu manifestasi mengenai apa yang dilihat Mat Taib berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. Keanggotaan Melayu dalam PPBM dan sebahagian lagi dalam PKR nampaknya masih belum mampu menandingi pengaruh DAP dalam pakatan itu. PAS dilihat sedikit bijak dalam hal ini lantaran keberanian parti itu bersendirian memperjuangkan prinsip biarpun terpaksa berpatah arang dengan PH.

Dengan pengumuman semalam, sukar untuk kita ramalkan apakah bentuk peranan yang akan Mat Taib mainkan untuk UMNO khususnya di Selangor dan apa pula jawatan yang akan diberikan kepada beliau menjelang PRU-14 kelak. Walaupun kepulangannya ke pangkuan UMNO bukanlah keuntungan yang dilihat sangat besar buat Najib, namun ia memberi cerminan kepada rakyat dan orang Melayu khususnya betapa mereka perlu menilai semula kesungguhan PH dalam memperjuangkan agenda Bumiputera di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here