Monday, June 18, 2018
Home News Entertainment ‘Sehati Sejiwa’ Lakar detik Bersejarah Sambutan Kemerdekaan 2015

‘Sehati Sejiwa’ Lakar detik Bersejarah Sambutan Kemerdekaan 2015

0
464

Rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat mempamerkan semangat kebersamaan dan cintakan negara menjelangnya Hari Kebangsaan pada setiap tahun dan disambut dengan meriahnya di Dataran Merdeka semalam.

Bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ sambutan hari bersejarah itu di­sertai ratusan ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama yang memenuhi setiap lokasi sambutan di seluruh negara.

Di Dataran Merdeka, lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme yang diserikan melalui persembahan bertenaga dan perbarisan oleh hampir 13,000 peserta pelbagai kontinjen terma­suk daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan.

Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan di dataran penuh bersejarah itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan barisan menteri Kabinet serta perwakilan asing.

Di PERAK, sambutan kemerdekaan bermula seawal 8 pagi dengan kira-kira 10,000 orang hadir menyaksikan perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan pe­ringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyer­tai rakyat meraikan sambutan itu bersama-sama puteri baginda, Raja Nazira Safya; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli.

Sebanyak 114 kontinjen melibatkan 6,500 peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, ins­titut pengajian tinggi, pasukan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan dan perbarisan tersebut.

Acara turut dimeriahkan dengan gabungan nyanyian koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Sekolah Menengah Kebangsaan Tarcisian Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent.

Di SEREMBAN, 118 kontinjen melibatkan 11,000 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pasukan beruniform, parti komponen Barisan Nasional (BN), sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-58 peringkat Negeri Sembilan di Jalan Yam Tuan (hadapan Bangunan Majlis Perbandaran Seremban) di sini.

Perarakan dan sambutan tersebut yang diraikan dengan penuh meriah bermula 8.30 pagi sebaik sahaja Yang Dipertuan Besar Ne­geri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat tiba.

Turut hadir Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan; Speaker Datuk Dr. Awaludin Said, anggota exco dan ketua-ketua jabatan.

Turut mengambil bahagian per­arakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengangkuatan Jalan (JPJ) selain 1,058 anggota tentera dari 1 Briged Infantri Malaysia Kem Rasah mengadakan persembahan tarian perang.

Di MELAKA, Yang Dipertua Ne­geri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron bersama barisan exco dan kira-kira 1,000 rakyat tempatan serta pelancong asing menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan 2015 di hadapan Memorial Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini pagi ini.

Seramai 8,798 peserta membabitkan 209 kontinjen yang terdiri daripada jabatan kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan menyertai perarakan yang dimeriahkan dengan pakaian berwarna-warni serta alunan muzik kumpulan pancaragam yang mengambil bahagian.

Di PULAU PINANG, acara perbarisan dan perarakan diadakan secara sederhana di hadapan bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Sebanyak 4,000 peserta daripada 74 kontinjen membabitkan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah serta 236 kenderaan bermotor menyertai perbarisan sempena Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri itu.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sha­riff; Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan barisan exco kerajaan negeri hadir menyaksikan sambutan yang bermula pada 9 pagi itu.

Turut diadakan persembahan tarian tradisional daripada tiga kaum di Malaysia, nyanyian lagu patriotik dan persembahan gimnastik, Soka Gakkai Malaysia Pulau Pinang.

Di KEDAH, sambutan yang diadakan di Dataran Balai Besar turut dihadiri Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Turut hadir Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir, barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.

Walaupun hujan lebat sebelum bermulanya perarakan, namun orang ramai tidak berganjak untuk melihat acara perbarisan yang bermula pada 9 pagi yang di­sertai 66 pasukan daripada pelbagai agensi pusat dan negeri.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here