Sebuah rangkaian pasar raya besar, Segi Fresh, menawarkan pekerjaan untuk ratusan orang yang terkesan oleh keputusan Giant Hypermarket untuk menutup 5 cawangannya menjelang Ahad ini.

Segi Value Holdings, yang mengendalikan pasar raya Segi Fresh, berkata ramai yang telah beratur untuk mengisi borang permohonan.

Ketua Pengurus Kanan Segi Value Holdings, Fong Leong memberitahu FMT, ia merancang untuk merekrut pekerja daripada cawangan Giant yang bakal tutup itu kerana mereka mempunyai pengalaman.

Giant akan menamatkan operasi di beberapa cawangan pada 5 November.

GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil selepas “mengkaji semula operasinya dan untuk menambah baik kecekapan serta produktiviti”.

Lima cawangan tersebut adalah di Sri Manjung, Sungai Petani, SACC Mall, Sibu dan Selayang Lama, yang bakal ditutup apabila sewaan premisnya tamat.

Fong berkata, mereka yang hadir temuduga bukan sahaja dari Giant.

“Mereka dari pasar raya lain yang sama ada sudah ditutup atau terdapat ura-ura bakal ditutup tidak lama lagi.

“Berdasarkan temu duga terbuka baru-baru ini, mereka yang hadir mencari kerja berumur antara 20-an hingga 40-an. Kebanyakan berpengalaman bekerja di pasaraya,” tambahnya.

Menurut Fong, sesetengah calon datang jauh dari Perak untuk temu duga itu.

“Ini menunjukkan betapa mereka perlukan pekerjaan,” katanya.

Segi Group sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu dan kini mengurus 31 cawangan di Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Fong berkata syarikat itu akan membuka cawangan baharu setiap 2 minggu dengan cawangan terbaru bakal dibuka di Alor Gajah.

“Akibat pembukaan cawangan baru dengan banyak, kami mahukan bakat dan mencari orang untuk bekerja dengan kami pada masa depan.”-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here