Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata segala keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatannya ke Amerika Syarikat adalah untuk pertumbuhan ekonomi negara.

Ini katanya termasuk cadangan pembelian tambahan pesawat Boeing bagi kegunaan syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

“Negara besar seperti China, Arab Saudi, Amerika Syarikat dan United Kingdom mahu menjadikan Malaysia sebagai sahabat dalam perdagangan bersama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hamzah yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, meminta rakyat agar tidak terpedaya dengan tohmahan pembangkang yang lantang mengkritik pembelian pesawat Boeing itu.

Ini kerana katanya pembangkang hanya mahu menimbulkan rasa tidak percaya rakyat terhadap kerajaan.

“Itulah kerja pembangkang, untuk merosakkan pemikiran dan ingin memecahbelahkan masyarakat. Rakyat sepatutnya sedar segala keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah demi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Perdana Menteri sewaktu lawatan kerja beliau bertemu Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini mengumumkan  pembelian tambahan pesawat bernilai lebih US$10 bilion.

Terdahulu Hamzah mengadakan lawatan ke tapak  Fiesta Larut 2017 di sini yang bermula 14 Sept lalu hingga esok serta menampilkan pelbagai permainan sukan rakyat, hiburan dan pameran oleh agensi kerajaan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here