Pemain Israel gagal mendapat visa untuk menyertai kejohanan catur anjuran Arab Saudi minggu ini, kata naib presiden Persekutuan Catur Dunia (Fide) pada Ahad.

Tujuh pemain Israel memohon visa untuk menyertai kejohanan catur cepat dan kilat mulai 26 hingga 30 Disember ini.

Jika permohonan itu diluluskan, ia adalah kali pertama Riyadh menjadi tuan rumah kepada rakyat Israel secara terbuka kerana negara Teluk itu tidak mengiktiraf Israel dan tiada hubungan rasmi antara mereka.

Israel Gelfer, naib presiden Fide yang sekretariatnya terletak di Athens memberitahu Reuters melalui satu e-mel, visa pemain Israel “belum dan tidak akan dikeluarkan”.

Katanya, kejohanan itu akan diteruskan seperti jadual. Tidak jelas jika ada delegasi lain yang turut berdepan nasib sama, tetapi pemain Qatar merasakan penyertaan mereka mungkin ditolak.

Pusat Komunikasi Antarabangsa Arab Saudi menerusi satu kenyataan berkata, lebih 180 peserta akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu, tanpa mengulas lanjut.

Jurucakap Persekutuan Catur Israel, Lior Aizenberg berkata, “pelbagai pihak” masih berusaha memastikan pemain Israel dapat menyertai kejohanan itu.

“Ia bukan kejohanan dunia jika mereka menghalang penyertaan pemain catur dari beberapa negara.

“Setiap pemain catur sepatutnya berhak menyertai sesebuah kejohanan itu berdasarkan kriteria profesional, tanpa mengambil kira pasport, tempat ia dikeluarkan atau copnya.”

Katanya, Fide perlu memastikan pemain Israel boleh bertanding dalam acara antarabangsa dan pihaknya mempertimbangkan semua pilihan, termasuk tindakan undang-undang dan mengadakan kejohanan antarabangsa di Israel untuk pemain yang dilarang bertanding di Arab Saudi.

Bulan lalu, Fide berkata, mereka “berusaha” memastikan semua pemain diberikan visa.

Free Malaysia Today

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here