JOHOR BAHARU, 1 Sept – Kerajaan Sri Lanka menyasar kira-kira 30,000 pelancong Malaysia datang negara itu tahun ini, didorong oleh pelbagai daya tarikan yang ditawarkannya.

Pesuruhjaya Tingginya ke Malaysia, Ibrahim Ansar berkata sehingga Julai tahun ini terdapat kira-kira 12,311 rakyat Malaysia yang melawat negara Komanwel itu.

“Tahun lepas, kira-kira 23,000 pelancong Malaysia mengunjungi Sri Lanka dan ia membuktikan hubungan diplomatik kukuh dengan Malaysia sejak kemerdekaan kami,” katanya selepas melancarkan jerayawara Sri Lanka Tourism Promotion Bureau, di sini, Selasa.

Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia dari segi bilangan pelancong ke Sri Lanka sejak tiga tahun lepas selepas Singapura dan Jepun.

“Walaupun Malaysia bukan penyumbang utama kepada sektor pelancongan kami tidak seperti India, United Kingdom, China dan Perancis, kami masih melihat Malaysia sebagai pasaran yang berpotensi,” katanya.

Justeru itu, negara tersebut akan menggiatkan lagi promosi pelbagai daya tarikannya seperti pantai, hidupan liar dan tapak-tapak bersejarah Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan PBB (Unesco), katanya.

Malaysia dan Sri Lanka dihubungkan menerusi tiga syarikat penerbangan — Malaysia Airlines Bhd, Sri Lanka Airlines dan AirAsia yang menyediakan purata tujuh hingga 10 penerbangan seminggu.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here