Kian optimis mampu mencatatkan pencapaian paling cemerlang dalam temasya Sukan SEA, tuan rumah  Malaysia semakin menghampiri sasaran 111 pingat emas dan dilihat mampu melepasi jumlah itu selepas atlet negara terus menunjukkan taring semalam.

Menuai 11 lagi emas setakat semalam dengan kilauan emas berganda daripada acara terjun, gimnastik berirama, boling padang dan pelayaran, jumlah pingat tuan rumah meningkat kepada 94 emas, 63 perak dan 60 gangsa. Ia juga hari yang menyinar buat pelumba acara trek berbasikal Irwandie Lakasek, atlet taekwondo  Rozaimi Rozali dan atlet figure skating Julian Yee, masing-masing meraih emas.

Pencapaian terbaik Malaysia pada temasya dwitahunan itu adalah 111 emas pada edisi  2001 selaku tuan rumah.

Di tempat kedua ialah Vietnam dengan  51 emas manakala juara keseluruhan edisi 2015 Thailand di tempat ketiga dengan 50 diikuti Singapura 48, Indonesia 31, Filipina  21, Myanmar tujuh dan Laos serta Kemboja masing-masing satu.

Penganjur mengumumkan perlawanan bagi merebut ibu segala pingat iaitu acara bola sepak lelaki pada Selasa  antara  Malaysia dan Thailand akan diadakan di Stadium Shah Alam pada  8.45 malam. Perlawanan penentuan pingat gangsa antara Indonesia dan Myanmar akan berlangsung lebih awal pada 4.30 petang di Stadium Selayang.

Emas Terjun

Juara terjun dunia  Cheong Jun Hoong dan Jasmine Lai, yang menggantikan Nur Dhabitah Sabri yang cedera, dengan mudah memenangi pingat emas dan perak dalam 1m panpan anjal wanita dan kejayaan sama dicapai dalam 10m platform lelaki dengan Ooi Tze Liang meraih emas, yang keduanya pada temasya ini dan rakan sepasukan Chew Yi Wei memenangi perak.

Seperti dijangka, Malaysia merangkul pingat emas pertama di Velodrome Nilai yang baharu menerusi pelumba 22 tahun Irwandie  dalam acara scratch lelaki yang mengatasi pelumba Thailand Thurakit Boonratanathanakorn dan Thanawut Sanikwathi. Acara trek berbasikal menawarkan 13 emas.

Emas Basikal

Di Langkawi, Malaysia mendominasi kategori International 420l dan International 470 lelaki namun keadaannya berbeza bagi pasukan wanita yang gagal mempertahankan emas International 470 dengan hanya meraih perak dengan emas menjadi milik Singapura.

Pelayar remaja Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman Shahrin berjaya mengatasi cabaran dua gandingan Thailand untuk menyumbang emas International 420 buat tuan rumah dengan 13 mata penalti.

Bagi kategori International 470 yang dimenangi Singapura dua tahun lepas,  Mohammad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz  mengumpul 17 mata penalti untuk kilauan emas manakala  perak menjadi milik Thailand manakala Filipina terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Atlet boling padang mempamerkan kehebatan dengan memenangi tujuh daripada lapan pingat emas untuk Malaysia. Dalam perlawanan acara singles lelaki, Muhammad Soufi  Rusli  menewaskan Lee Yuan Min daripada Singapura  21-6 dan Emma Firyana Saroji mengatasi atlet Brunei  Amaliah Mat Ali  21-12 untuk menjulang gelaran singles wanita buat pertama kalinya untuk Malaysia.

Emas Gimnastik

Pada hari kedua acara gimnastik berirama yang dikatakan memihak kepada tuan rumah susulan kejayaan menjuarai gelaran berkumpulan yang membuka tirai semalam, gimnas berumur 18 tahun Koi Siew Yan mempertahankan emas acara keseluruhan dan Malaysia turut merangkul emas ketiga dalam acara aparatus tunggal berkumpulan (lima gelung).

“Hari ini persembahan saya lebih baik terutama dalam acara gelung  dengan mendapat 16.600 mata, ia mata tertinggi yang pernah dicapai oleh saya setakat ini,” kata gimnas daripada Pahang itu yang mendedikasikan kejayaannya itu kepada ibu bapanya bagi pengorbanan mereka dan rakan-rakannya atas sokongan mereka.

Atlet figure skating Julian Yee menepati jangkaan dalam membuktikan kehebatannya dalam melaksanakan rutin free skating lelaki untuk emas dengan 205.43 mata dan rakan sepasukan Chew Kai Xiang  memenangi gangsa dengan 145.53 mata di belakang atlet Filipina Michael Christian Marti dengan 171.63 mata.

Dalam ekuestrian polo, Malaysia meneruskan pemburuan  pingat emas apabila bertemu Thailand dalam  final pada Khamis manakala Singapura dan Brunei akan berentap bagi pingat gangsa.

Esok, 25 pingat emas dipertaruhkan dan Malaysia dijangka terus menuai emas daripada acara terjun dan hari terakhir acara gimnastik berirama. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here