DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam akhirnya meluluskan sebuah usul kementerian mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memberi mandat kepada kerajaan negeri berunding dengan kerajaan persekutuan dalam mencari penyelesaian dan mendapatkan semula hak-hak negeri di bawah perjanjian tersebut. Usul yang dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan disokong oleh rakan sejawatnya Tan Sri Dr. James Masing itu diluluskan selepas dibahaskan dan menerima sokongan majoriti daripada ahli-ahli DUN.

Langkah bermakna yang diambil DUN Sarawak dalam hal ini nampaknya bukanlah sesuatu yang dijelmakan secara tiba-tiba, bahkan ianya merupakan sesuatu yang sudah dijangka lantaran keterbukaan dan komitmen kerajaan persekutuan yang dilihat komited untuk berbincang dalam usaha mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak.

Rundingan Yang Dinanti

Terdahulu, pada Disember 2015, DUN Sarawak juga telah meluluskan satu usul yang dibawa oleh Masing bagi memberikan mandat kepada kerajaan negeri untuk mengambil kesemua tindakan yang perlu di bawah peruntukan ataupun Artikel VIII MA63 mengenai pelaksanaan penuh kesemua cadangan yang telah dibentangkan oleh Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan pemeliharaan kepentingan-kepentingan khas Sarawak dan penduduknya.

Mandat yang ada kini bakal membolehkan kerajaan negeri untuk berunding secara terus dengan kerajaan pusat mengenai semua isu berbangkit. Rundingan ini tentunya akan direalisasikan melalui penubuhan sebuah pasukan khas yang mewakili kerajaan negeri dalam perbincangan mereka dengan Putrajaya. Adalah diharapkan dengan lulusnya usul kementerian semalam, segala rundingan dan perbincangan mengenai isu-isu yang berkait dengan perlembagaan dapatlah diselesaikan secara harmoni tanpa melibatkan sebarang tindakan perundangan.

Perjanjian Unik

Meneliti perjanjian tersebut, MA63 sememangnya sebuah perjanjian unik. Walaupun ianya melibatkan perjanjian antara kerajaan persekutuan dengan Sabah dan Sarawak (juga Singapura), perjanjian bersejarah itu walau bagaimanapun ditandatangani di London, menjadikan ia sebagai sebuah perjanjian yang bersifat antarabangsa. Malah, MA63 juga sebenarnya direkodkan dan didaftarkan dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970. Justeru, dari satu perspektif, sebarang pindaan terhadap terma dalam MA63 hanya boleh dilakukan dan direalisasikan melalui persetujuan antara pihak penandatangan perjanjian tersebut.

Janji dan Komitmen Putrajaya

Ketika menyertai sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada 16 September yang lalu, Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak menyatakan jaminan beliau bahawa kerajaan persekutuan akan memberi dan memulangkan semula hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63. Tidak pun sampai dua bulan berlalu, kelulusan usul di DUN Sarawak semalam membuktikan bahawa jaminan perdana menteri itu bukanlah satu retorik politik semata-mata, sebaliknya itulah respon dan tindak balas positif Putrajaya terhadap inisiatif Sabah dan Sarawak dalam hal tersebut.

Penyelesaian Yang Menyatukan

Bagi rakyat terbanyak pula, kelulusan usul ini tidaklah sewajarnya disalah tafsir. Biarpun Sarawak ataupun Sabah terus konsisten menuntut hak-hak mereka, itu tidaklah sesekali bermakna kedua-dua negeri itu tidak mahu lagi terus kekal dalam Malaysia. Hakikatnya, apa yang mereka tuntut kini adalah sesuatu yang sememangnya sudah pun dijanjikan undang-undang dan sebarang usaha untuk mengabaikan perkara itu sememangnya wajar dilihat sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab. Biarlah rundingan yang bakal berjalan nanti umpama perbincangan antara adik-beradik yang kesan akhirnya hanyalah menyatukan.

Pembangunan Kian Rancak

Hubungan yang wujud persis sebuah keluarga ini bukanlah hanya cakap-cakap kosong, dan bukan pula ianya satu retorik. Sejak menerajui kepimpinan negara, Najib dan kabinetnya serius melihat isu-isu yang berkait rapat dengan hak-hak Sabah dan Sarawak sebagai antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian. Malah, perjalanan ke arah menunaikan hak-hak tersebut juga tidak dibiar ‘lengang’ dan ‘sunyi’ di mana rakyat di kedua-dua negeri telah menyaksikan pelbagai pembangunan yang dirancang dan dijanjikan.

Umpamanya, sejumlah RM30 bilion telah diperuntukkan kerajaan bagi pembiayaan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo tanpa tol, yang juga dilihat sebagai sebuah hadiah untuk penduduk Sabah dan Sarawak. Tidak berhenti sekadar itu, Belanjawan Negara yang dibentangkan baru-baru ini juga memperlihatkan bagaimana kedua-dua negeri itu menikmati peruntukan yang lebih berbanding negeri-negeri lain, dengan jumlah keseluruhan lebih RM6.8 bilion, sekaligus membuktikan keseriusan kerajaan untuk merealisasikan agenda pembangunan di Borneo.

Sarawak for Malaysia

Mengambil kira perkembangan dan hakikat ini, wajarlah bagi pihak-pihak yang tertentu untuk berhenti bermain dengan kenyataan-kenyataan yang berbaur subversif. Walaupun Sarawak terutamanya mempunyai autonomi dalam beberapa aspek tertentu, penduduk Sarawak tidak seharusnya termakan dengan sentimen-sentimen kenegerian yang dimainkan oleh beberapa kelompok berkepentingan melalui slogan mereka seperti ‘Sarawak for Sarawakian’ dan pelbagai slogan lain. Agenda pemisahan yang tidak bertanggungjawab seperti itu hanya akan membawa kepada pelbagai kemudaratan yang dapat kita saksikan berlaku di Catalonia, Sepanyol dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Justeru, dengan keterbukaan kerajaan persekutuan yang ada pada hari ini dan atas dasar hormatnya kepimpinan negara terhadap keputusan Sarawak untuk menyertai Malaysia lebih 54 tahun lalu, alangkah indahnya jika perpaduan antara Sarawak, Sabah dan Malaysia dapat kita kukuhkan lagi seiring dengan usaha kerajaan untuk merapat atau menghapuskan terus jurang pembangunan yang wujud antara negeri-negeri di Borneo dengan kesemua negeri di Semenanjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here