KUALA LUMPUR – Upacara sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini hari ini bukan sahaja menarik kehadiran warga kota dan pelancong domestik, malah pelancong asing.

Muhammet Furken Eren, 20, dari Turki, yang berada di sini sejak Khamis, berkata dia mengagumi Malaysia kerana walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan bahasa, namun mereka mampu hidup secara aman serta harmoni dan ini menunjukkan ia sebuah negara makmur.

“Hebat sungguh apabila mendapati rakyat pelbagai etnik mempamerkan kesungguhan mereka dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

“Ia jauh berbeza dengan Hari Kemerdekaan kami, ia begitu bersemangat, berwarna-warni dan rakyat di sini pula bersopan santun,” katanya kepada Bernama selepas perbarisan dan persembahan bersempena sambutan itu.

Pelancong Jepun, Natsumi Kageyama, 23, berkata dia tiba di ibu negara pada Khamis untuk melakukan lawatan sulung ke Malaysia, terutama untuk melihat cara Malaysia menyambut hari kebangsaannya.

“Sambutannya sungguh menarik dan rakyat benar-benar mempamerkan semangat Sehati Sejiwa, yang menjadi slogan sambutan ini. Saya gembira kerana berkesempatan berada di sini untuk menyaksikan sambutan ini,” katanya.

Sementara itu, pasangan dari Britain, Graham Seabrook, 28, dan Christine McNicol, 28, pula memuji rakyat Malaysia kerana memiliki semangat patriotik yang tinggi seperti yang terpamer pada upacara sambutan Hari Kebangsaan itu.

“Walaupun berlaku beberapa kejadian tidak dijangka seperti gempa bumi serta tragedi pesawat dan malah perhimpunan Bersih 4 semalam, namun keceriaan tetap terpamer pada wajah penduduk negara ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here