CRB dan SR

CLARE Rewcastle Brown (CRB) dan Sarawak Report (SR) kini pastinya sedang berada dalam dilema.

Dilema CRB dan SR adalah bagi menyediakan bukti sahih berhubung dakwaan portal itu bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jika diikutkan, apabila dakwaan dibuat sudah tentu CRB dan SR mempunyai bukti kukuh mengenainya.

Maka, sudah tentu CRB dan SR boleh mengemukakan bukti itu apabila diarahkan oleh di Mahkamah Tinggi London untuk berbuat demikian.

Hakim perbicaraan mahu CRB memberi bukti kepada dakwaannya dalam masa 18 hari dari tarikh dibicarakan.

Persoalannya, adakah CRB dan SR mempunyai bukti atas dakwaan itu?

Rasanya tidak menjadi masalah untuk CRB mendapatkan bukti itu.

CRB dan SR hanya perlu bertemu atau menghubungi pemberi maklumat atau pihak yang ‘mengupahnya’ untuk menyebarkan dakwaan itu.

Adakah pihak pemberi maklumat itu juga tiada bukti mengenai dakwaan itu?

Jika tiada, kenapa SR berani mengeluarkan dakwaan itu?

Adakah disebabkan CRB dan SR dibayar dengan ‘upah’ yang cukup lumayan sehingga membolehkannya berani membuat dakwaan sedemikian?

Jika berani membuat dakwaan, CRB dan SR perlu berani berdepan dengan saman fitnah dikemukakan PAS.

Dalam perbicaraan saman fitnah itu pada 2 Ogos lepas, CRB juga mengatakan dia tidak percaya Najib dan mahkamah Malaysia itu adil dan percaya kedua-dua pihak iaitu Najib dan Mahkamah Malaysia adalah korup dan kotor.

Akibat dakwaan ini, hakim mahu CRB memberi bukti kepada dakwaannya.

CRB mesti membuktikan bahawa Najib adalah korup dan mahkamah Malaysia juga sama korup.

Maka ia bermakna bala berganda bagi CRB dan SR sendiri.

Selain mesti mencari bukti kepada pertuduhan pertama iaitu Abdul Hadi menerima wang daripada Najib, CRB dan SR juga mesti membuktikan Najib dan Mahkamah Malaysia adalah korup.

Ternyata CRB dan SR kini benar-benar berada dalam dilema untuk menyediakan bukti kukuh mengenai dua dakwaan itu.

Inilah akibatnya apabila suka menyebarkan fitnah demi bayaran yang lumayan dari pihak tertentu.

Selain perlu membayar kos mahkamah yang terkenal mahal di UK, CRB juga mesti menyediakan sejumah wang jutaan pound untuk membayar ganti rugi saman fitnah jika tewas.

Jika tidak mahu tewas, CRB dan SR perlu segera menyediakan bukti itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Cuma persoalannya, artikel itu disiarkan SR pada Ogos 2016 dan tarikh perbicaraan juga diketahui awal oleh CRB, namun kenapa sehingga kini CRB masih gagal untuk mengumpul bukti?

Sudah menjadi prosedur mahkamah, jika ada dakwaan, bukti perlu dikemukakan.

Adakah perkara ini tidak diketahui oleh CRB dan si pemberi maklumat?

Adakah pihak yang memberikan maklumat kepada CRB dan SR kini sedang bersembunyi?

Jika didedahkan namanya oleh CRB dan SR, pihak berkenaan pastinya akan dibawa ke mahkamah sebagai pemberi maklumat.

Adakah CRB akan atau berani berbuat demikian?

Pada perbicaraan 2 Ogos lepas, PAS juga memperoleh kemenangan pertama apabila SR kalah dalam permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya PAS membayar ‘security for cost’.

CRB memohon kepada mahkamah supaya Abdul Hadi diperintah membayar kira-kira RM4.5 juta wang jaminan keselamatan dalam bicara tersebut.

Disebabkan gagal dalam permohonannya itu, mahkamah mengarahkan SR membayar kos itu sebanyak £15,000 (kira-kira RM84,000).

Menurut undang-undang, terdapat frasa ‘cost follows the event’ yang bermaksud pihak yang kalah perlu membayar kos kepada pihak yang menang.

Abdul Hadi hanya diminta membayar sebanyak RM80,000 sahaja wang deposit prosiding berkenaan.

Kemenangan pertama telah pun berpihak kepada PAS dan harapnya CRB dan SR kini sedang mengumpul bukti seperti diarahkan Mahkamah Tinggi di London.

Perkembangan kes saman fitnah oleh PAS ini pastinya lebih menarik selepas ini sama ada CRB dan SR berjaya mengemukakan bukti atau tidak.

Nampaknya penyebar berita fitnah sudah bertemu buku dengan ruas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here