PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika berucap pada Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) memaklumkan, tuntutan semula Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh mungkin ada kaitan de­ngan pilihan raya umumnya.

Kenapa Hsien Long perlu membangkitkan perkara itu?

Salahkah untuk Malaysia menuntut kembali pulau berkenaan?

Ekoran kenyataan itu, Perdana Menteri Singapura tersebut telah didesak untuk memohon maaf kepada kerajaan Malaysia.

Kenyataan Hsien Loong itu dilihat sebagai tuduhan tidak bertanggungjawab yang hanya boleh merosakkan hubungan baik Malaysia dengan Singapura.

Sebagai ketua pemimpin, Hsein Loong perlu lebih bertanggungjawab dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubu­ngan diplomatik kedua-dua negara.

Isu Pulau Batu Puteh bukanlah sesuatu yang baharu sebalik­nya, Malaysia mengemukakan tuntutan tersebut pada tahun 2008, iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lagi.

Hsein Loong harus faham, ini adalah tanggungjawab Malaysia untuk mempertahankan hak negara.

Ia langsung tidak berkait dengan politik negara sama sekali.

Singapura juga akan mengambil langkah yang sama sekiranya perkara yang sama terjadi kepada mereka.

Pembangkang juga tidak seharusnya memperlekehkan kerajaan sebaliknya berdiri kukuh dengan kerajaan mempertahankan hak negara.

Jangan kerana perbezaan politik, kita sanggup berpihak kepada pihak asing.

Adakah wujud ancaman kepada Singapura sehingga perlu mengeluarkan kenyataan seumpama itu?

Permohonan Malaysia adalah berdasarkan Undang-undang Antarabangsa dan fakta baharu.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh bermula sejak 37 tahun lalu iaitu selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Puteh sebagai wilayahnya pada tahun 1979.

Tuntutan terhadap Batuan Tengah yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan yang berada 1.7 batu nautika dari Batuan Tengah, dibuat Singapura pada 1993.

Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam keputusan majoriti 12-4 memutuskan Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak 1980 adalah milik Singapura.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

Walau apapun keputusannya nanti, Singapura harus menghormati keputusan mahkamah keadilan itu sekiranya kalah dalam tuntutan baharu sebagaimana Malaysia yang tidak mempersoalkan malah akur apabila tewas dalam perbicaraan di ICJ pada 2008.

Pulau berkenaan hanya sebesar padang bola dengan permukaan batu putih. Mengapa Singapura memandangnya amat penting?

Ini kerana kedudukannya amat strategik selain peranan mereka bukan sekadar ‘meninjau’ kapal-kapal nelayan Malaysia menangkap ikan di sekitarnya.

Daripada segi logikal terutama jarak, kedudukannya pulau berke­naan hanya 12.8 kilometer dari Pengerang, Johor berbanding 64 kilometer ke Singapura.

Jadi sudah tentu rakyat negara ini nampak rasional dan perlunya tuntutan semula ke atas pulau berkenaan.

Kita tidak tahu apakah Singapura sudah memulakan aktiviti menambak pulau berkenaan seperti dimaklumkan sebelum ini kerana langkah itu jelas akan menyebabkan kerosakan ekosistem hidupan laut selain akan ‘merapatkan’ sempadan antara dua negara itu.

Selepas ini bagi memastikan pulau tersebut milik Malaysia, pasukan perundangan yang mewakili Malaysia dalam permohonan semakan itu nanti harus melakukan kajian menyeluruh, mendapatkan dokumen soko­ngan selain bersiap sedia sepenuhnya supaya tidak kecundang.

Ini untuk memastikan rakyat Malaysia sekali lagi tidak berputih mata sekiranya Pulau Batu Puteh hilang buat kali kedua kepada Singapura malah untuk selama-lamanya.

Biar putih tulang, jangan putih mata …

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here