Tokok akademik menyangkal pandangan yang diutarakan di sebuah persidangan anjuran bersama kerajaan Arab Saudi di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang cuba menyamakan aliran Syiah dengan kumpulan pengganas seperti IS.

Pakar sosiologi yang berpengkalan di Singapura, Prof Syed Farid Alatas, berkata adalah salah daripada segi asasnya untuk membandingkan IS dan Syiah, aliran kedua terbesar Islam yang menjadi ikutan majoriti di beberapa negara Timur Tengah.

“IS ialah rangkaian kumpulan ekstrem manakala Syiah adalah aliran pemikiran dalam Islam,” katanya.

Farid bagaimanapun bersetuju sekiranya IS dibandingkan dengan kumpulan pelampau dari kalangan Syiah.

Seorang pemerhati politik dari Iran, Seyed Mohamad Sadegh Emamian, pula berkata kajian menunjukkan proses radikalisasi lahir daripada pengaruh persekitaran dan bukan kepercayaan agama.

“Antara lain, ia berkait ekonomi, pengasingan politik dan perpecahan dalam masyarakat,” kata Emamian, yang mengetuai sebuah institut mengenai dasar kerajaan di Universiti Teknologi Sharif di Tehran.

Emamian memetik kajian King’s College di London, yang mendapati peranan dimainkan keadaan persekitaran lebih ketara daripada yang dimainkan ideologi dalam proses radikalisasi.

Emamian turut berkata data yang dikumpulkan menunjukkan aliran Salafi, yang lahir dari kerangka Sunni, lebih mudah terjerumus dalam radikalisasi daripada aliran Syiah.

“Saya tidak fikir ajaran Salafi menjadikan umat Islam radikal, tetapi ia lebih terdedah kepadanya disebabkan kaedah ia menjelaskan Islam,” katanya.

“Ia mempunyai cara pemikiran yang agresif mengenai Islam.”

Ahad lalu, seorang guru Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Hafiz Basir, mengeluarkan pandangannya mengaitkan Syiah kepada keganasan.

Malah Hafiz, ketika hadir di sebuah persidangan “Khayr Ummah” di Kuala Lumpur yang dianjurkan bersama kerajaan Arab Saudi, berkata aliran Syiah lebih bahaya daripada kumpulan militan IS, dengan alasan aliran itu berkait rapat dengan Iran dan parti politik dan pasukan tentera persendirian Lubnan, Hizbullah.

Pandangan itu disokong pemimpin Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menganggap IS dan Syiah sama bahaya.

Farid mempersoalkan mereka yang cuba mengaitkan permusuhan antara Arab Saudi dan Iran sebagai timbul daripada perbezaan agama.

Sebaliknya, Farid yang mengajar sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata persengketaan antara kedua negara itu lebih kepada perbezaan politik.

Menurutnya, adalah malang permusuhan politik itu ditafsirkan sebagai sengketa mazhab antara Sunni dan Syiah, aliran yang dominan di Iran dan beberapa negara Timur Tengah lain.- FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here