KUALA LUMPUR, 10 Sept – Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 3.88 mata untuk mengakhiri sesi pagi Khamis pada 1,599.48, dipengaruhi oleh kerugian kaunter berwajaran tinggi perbankan.

Indeks utama bergerak antara 1,600.27 dan 1,586.84 sepanjang sesi.

Kejatuhan saham komponen indeks komposit diteraju oleh Public Bank yang rugi 16 sen kepada RM17.92, diikuti Maybank luak 11 sen kepada RM8.51 dan CIMB merosot lima sen kepada RM4.72.

Sementara itu, MISC dan Genting menerajui kaunter untung dengan masing-masing meraih 12 sen kepada RM8.52 dan RM7.05.

Dari segi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi untung 414 berbanding 239 dengan 256 kaunter tidak berubah, 914 tidak diniagakan dan 19 lagi digantung.

Peniaga berkata kejatuhan hari ini seiring dengan kebanyakan pasaran serantau di tengah-tengah kejatuhan harga minyak mentah yang terus mencatatkan penurunan hari ini berikutan peningkatan kebimbangan akan lebihan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent penanda aras pasaran jatuh hampir 1.5 peratus kepada US$46.90 setong manakala niaga hadapan US susut 1.5 peratus kepada US$43.48 setong. (US$1=RM4.34).

Harga minyak mentah jatuh lebih 50 peratus sejak Jun 2014 apabila lonjakan pengeluaran global disambut oleh kelembapan ekonomi-ekonomi Asia.

Di pasaran serantau, Nikkei 225 di Jepun susut 3.21 peratus kepada 18,168.82, Indeks Komposit Shanghai merosot 0.96 peratus kepada 3,211.93 manakala Hang Seng Hong Kong jatuh 2.15 peratus kepada 21,654.85.

Dalam negara, Indeks FBM Emas susut 17.29 mata kepada 10,987.50, Indeks FBMT100 jatuh 14.07 mata kepada 10,714.83 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 1.64 mata pada 11,496.81.

Bagaimanapun, FBM 70 menokok 28.54 mata kepada 11,810.17 manakala FBM Ace meraih 20.90 mata kepada 5,415.23.

Indeks Kewangan turun 99.87 mata kepada 14,077.84 manakala Indeks Perusahaan meraih 10.34 mata kepada 3,060.52 dan Indeks Perladangan meningkat 24.53 mata kepada 6,858.41.

Jumlah dagangan setakat tengah hari sebanyak 963.78 juta saham bernilai RM872.36 juta.

Kaunter cergas termasuk AirAsia yang menokok enam sen kepada RM1.17 dan IFCA MSC naik tiga sen pada 85.5 sen, manakala APFT dan Frontken masing-masing kekal pada 22 sen dan 17 sen.

Sumber: BERNAMA

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here