KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pasaran saham tempatan mengakhiri kerugian tiga hari berturut-turutnya apabila ditutup tinggi hari ini hasil belian semasa harga rendah.

Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,587.12, meningkat 4.27 mata selepas turun naik antara 1,576.96 dan 1,594.91 di sepanjang hari.

Peniaga berkata pemulihan hasil rali lewat petang di China dan bursa serantau, mencetuskan belian semasa harga rendah di pasaran tempatan.

“Belian semasa harga rendah muncul di Bursa dengan pelabur memilih belian terbaik selepas beberapa sesi harga saham merosot,” katanya.

Di China, Indeks Komposit Shanghai melonjak 2.93 peratus kepada 3,170.57, walaupun data import negara itu bagi Ogos menguncup buat bulan ke-10 berturut-turut.

“Penurunan import China pada Ogos meningkatkan kebimbangan terhadap kelembapan yang lebih teruk dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu, namun pelabur sudah mengambil kira faktor itu dan disusuli pemulihan,” kata seorang lagi peniaga kepada Bernama.

Indeks Hang Seng Hong Kong juga pulih, melonjak 3.28 peratus kepada 21,259.04, manakala Straits Times Singapura meningkat 1.12 peratus kepada 2,884.31.

Di Bursa Malaysia, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 547 berbanding 242, dengan 277 kaunter tidak berubah, 747 tidak diniagakan dan 18 yang lain di gantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.01 bilion unit bernilai RM1.71 bilion berbanding 1.68 bilion unit bernilai RM1.53 bilion semalam.

Kaunter untung dalam saham komponen FBM KLCI diketuai Maybank meningkat 20 sen kepada RM8.58, diikuti DiGi.com, menokok lima sen kepada RM6.52 dan British American melonjak RM1.24 kepada RM61.26, manakala Sime Darby mengetuai saham rugi, susut 17 sen kepada RM7.20.

Bagi saham aktif, The Media Shoppe menambah setengah sen kepada 14.5 sen, AirAsia meningkat 7.0 sen kepada 99.5 sen manakala IFCA MSC menokok 6.0 sen kepada 81.5 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 36.79 mata kepada 10,878.40, Indeks FBMT100 meningkat 29.04 mata kepada 10,610.21 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 17.70 mata kepada 11,383.76.

FBM 70 meningkat 33.77 mata kepada 11,614.00 manakala FBM Ace menambah 143.90 mata kepada 5,308.69.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 129.51 mata kepada 14,026.62, Indeks Perusahaan susut 5.76 mata kepada 3,032.79 manakala Indeks Perladangan susut 16.68 mata kepada 6,782.50.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 972.20 juta unit bernilai RM1.42 bilion berbanding 734.95 juta unit bernilai RM1.27 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 450.39 juta saham bernilai RM124.98 juta berbanding 256.82 juta saham bernilai RM73.98 juta sebelumnya.

Sementara itu, jumlah dagangan waran merosot kepada 583.97 juta unit bernilai RM156.36 juta berbanding 691.98 juta unit bernilai RM184.68 juta pada Isnin.

Barangan pengguna menyumbang sejumlah 129.70 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (152.63 juta), pembinaan (54.85 juta), perdagangan dan perkhidmatan (390.92 juta), teknologi (60.33 juta), infrastruktur (13.43 juta), SPAC (12.11 juta), kewangan (41.74 juta), hotel (602,100), hartanah (94.71 juta), perladangan (10.46 juta), perlombongan (94,500), REIT (10.55 juta), dan dana tertutup (62,700).

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here