Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka akan mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menterinya yang rasmi pada konvensyen HARAPAN, Ahad ini.

Berdasarkan berita dari portal┬áMalaysiakini dimaklumkan bahawa tiada kesepakatan sama ada Dr Mahathir perlu dinamakan sebagai “perdana menteri sementara” atau tidak.

Seorang sumber mendakwa pengumuman itu tidak akan diteruskan jika konsensus berhubung soal itu gagal dicapai pada mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN Khamis ini.

Menurut sumber, tiga atau empat parti komponen HARAPAN bimbang tindakan menamakan “perdana menteri sementara” tidak akan memberi kesan yang diharapkan mereka.

Misalnya, ia tidak akan menonjolkan HARAPAN sebagai gabungan yang mampu menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil jika menang pada pilihan raya umum (PRU) yang bakal menjelang.

“Kita tidak akan menonjolkan keyakinan awam jika menggunakan istilah itu, walaupun jika pemimpin HARAPAN menerima bahawa calon perdana menteri ini bersifat sementara.

Sumber berkata, PKR berpendirian frasa “perdana menteri sementara” patut digunakan.

Sementara itu, seorang lagi sumber berkata butiran berhubung pengumuman Mahathir sebagai calon perdana menteri akan disemak semula dan diperkemas pada mesyuarat majlis presiden.

“Salah satu parti (komponen) masih memerlukan masa untuk memutuskannya,” kata sumber yang enggan mengesahkan sama ada beliau merujuk kepada PKR.

Namun, beliau yakin parti tersebut akan menetapkan pendirian mereka sebelum mesyuarat Khamis ini, yang akan diadakan di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here